Khamis, 25 April 2019 | 3:27pm
KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Zakat fitrah Kedah kekal RM7

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan kadar zakat fitrah negeri itu bagi tahun ini, kekal RM7 seperti tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman, berkata bagi golongan yang berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan, mereka dialu-alukan berbuat demikian.

Katanya, zakat fitrah juga boleh dibayar mengikut jenis beras yang dimakan orang ramai iaitu jika beras import sebanyak RM14 seorang atau beras basmathi RM21 seorang.

“Bayaran zakat melebihi RM7 adalah sunat dan tiada paksaan kepada pembayar. Ia boleh dibuat secara tunai melalui 2,998 orang amil yang dilantik di 621 pusat kutipan zakat berkenaan di seluruh negeri.

“Pastikan bayaran dibuat kepada amil yang menggunakan resit rasmi yang dikeluarkan oleh LZNK,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Zakaria berkata bayaran zakat fitrah juga boleh dibuat dalam talian di laman web jom.zakatkedah.com.my.

Berita Harian X