Rabu, 24 April 2019 | 8:16pm
MENTERI Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - NSTP/Imran Makhzan

ECRL: Tanah penduduk belum diambil alih, hanya proses pewartaan

KUALA TERENGGANU: Proses pengambilalihan tanah penduduk untuk pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini belum dilakukan, sebaliknya ia hanya melalui proses pewartaan untuk pembangunan projek mega yang ditangguhkan sebelum ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata proses mengambil alih tanah penduduk juga akan membabitkan kawasan lain daripada yang sudah diwartakan sebelum ini berikutan perubahan jajaran laluan ECRL daripada kawasan tepi pantai ke kawasan sebelah dalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam memperhalusi pelbagai perkara termasuk bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kerja pembinaan ECRL.

Katanya, jawatankuasa itu akan menilai dan menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, termasuk isu pengambilalihan tanah dan isu kelulusan untuk kerja di peringkat kerajaan tempatan.

“Untuk laluan baharu ini, ia akan membabitkan pengambilalihan kawasan baharu. Yang sebelum ini (sebelum ECRL ditangguhkan) kita belum ambil alih tanah lagi, hanya wartakan tanah sahaja.

“Apabila ada jajaran baharu, kita akan wartakan kawasan baharu. Proses ini juga bukan mudah dan kita jangka akhir tahun ini atau awal tahun depan baharu selesai daripada segi jajaran baharu ini,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Misi Kemanusiaan Gaza 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, perubahan jajaran ECRL di Terengganu hanya membabitkan pengurangan jarak sejauh enam kilometer sahaja dan pengurangan stesen daripada lapan mengikut pelan asal kepada enam stesen.

“Untuk laluan di Terengganu, memang ada sedikit perubahan daripada laluan asal. Yang pertama perubahan daripada segi bilangan stesen dan kedua jajaran laluan.

“Secara keseluruhannya, di Terengganu daripada titik masuk iaitu di Kemaman sehingga titik hujung di Kampung Raja, Besut sebelum masuk ke Kelantan, pengurangan jarak yang berlaku hanya enam kilometer sahaja.

“Jadi, tidak membabitkan perkara yang signifikan sangat. Kita ucap terima kasih walaupun laluan baharu itu agak berbeza sedikit, tetapi kita percaya ia tidak merubah objektif asal yang kita nak capai,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaannya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak di sebuah hotel di bandar raya ini semalam, Ahmad Samsuri berkata, pertemuan itu adalah komitmen kerajaan negeri untuk memastikan segala urusan berkaitan perubahan jajaran baharu dapat dilaksanakan dengan mudah dan efektif.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan projek ECRL yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Kos pembinaan fasa satu dan dua ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas MRL memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

574 dibaca
Berita Harian X