Isnin, 22 April 2019 | 4:41pm
Mohd Muazzam (tengah) bersama penerima sumbangan selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kedah dan Sumbangan Amal Musa'adah Bank Islam. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Bank Islam, LZNK rancang perkenal produk pembiayaan rumah kepada asnaf

ALOR SETAR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) merancang untuk memperkenalkan produk pembiayaan perumahan kepada asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed, berkata produk itu akan memudahkan golongan berkenaan mendapatkan pembiayaan perumahan dengan syarat yang akan ditentukan, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk memiliki rumah.

“Perkara ini masih dalam peringkat perbincangan dengan LZNK dan kita akan minta LZNK untuk tentukan siapa yang layak.

“Seperti yang kita tahu, golongan asnaf selalunya sukar mendapatkan pinjaman seperti ini. Jadi, Bank Islam akan permudahkan pembiayaan perumahan untuk mereka dengan kadar bayaran yang akan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Kedah berjumlah RM424,867.57 dan Sumbangan Amal Musa’adah Bank Islam di sini, hari ini.

Zakat berkenaan diserahkan oleh Mohd Muazzam kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Mengulas lanjut, Mohd Muazzam berkata pembiayaan seperti itu akan diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat dengan kerjasama majlis agama atau lembaga zakat negeri.

Sementara itu, seramai 56 usahawan wanita asnaf Kedah yang berdaftar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut menerima bantuan Bank Islam berjumlah hampir RM70,000.

Sumbangan yang disalurkan berbentuk peralatan perniagaan melalui program AMAL Musa’adah itu bagi memastikan kelangsungan perniagaan golongan berkenaan.

Berita Harian X