Ahad, 21 April 2019 | 1:26pm
PENGUNJUNG mengunjungi gerai pameran Festival Inovasi Teknologi Hijau Antarabangsa (i-FINOG) 2019 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang. - Foto Mohd Rafi Mamat

339 pasukan berentap rebut kejuaraan inovasi hijau di UMP

KUANTAN: Sebanyak 339 pasukan berentap bagi merebut kejuaraan pertandingan inovasi pada Festival Inovasi Teknologi Hijau Antarabangsa (i-FINOG) 2019 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), kampus Gambang, di sini hari ini.

Program yang memasuki musim ketiga anjuran Kelab Eco Green Innovation Technology Society (Eco-Tech) UMP itu, berlangsung tiga hari sejak Jumaat lalu bagi memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan generasi muda bermula di peringkat sekolah rendah hingga universiti.

Pengerusi program, Abdul Syukor Abd Razak, berkata sambutan diterima kali ini cukup menggalakkan apabila penyertaan bertambah sekali ganda berbanding musim lalu dengan pembabitan 39 pasukan dari Kazakhstan, Indonesia, German, India dan Thailand.

“Pertandingan ini membabitkan lima kategori iaitu sekolah rendah, menengah, pelajar dan pensyarah universiti. Kali ini, kategori baharu diperkenalkan, iaitu idea bagi memberi peluang kepada peserta yang baru berjinak dalam inovasi hijau memperkenalkan hasil ciptaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 63 pasukan dari sekolah rendah, 75 sekolah menengah, 93 institusi pengajian tinggi (IPT) serta 13 kakitangan IPT bersaing memperkenal produk inovasi hijau mereka, manakala selebihnya adalah penyertaan secara individu.

Pada program tahun lalu, katanya, hanya 150 pasukan dari dalam dan luar negara yang menyertainya, namun, kali ini meningkat kepada 339 pasukan.

“Usaha Kementerian Pendidikan untuk menerapkan teknologi hijau dari peringkat sekolah rendah menjadi faktor bertambahnya penyertaan kali ini dengan pelbagai hadiah ditawarkan kepada pemenang setiap kategori.

“Saya lihat banyak inovasi hijau diperkenalkan beberapa pasukan tempatan dan luar negara yang mempunyai peluang cerah untuk dikomersialkan selepas melalui penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 30 anugerah khas disediakan penganjur dan pasukan yang layak ke pusingan akhir bagi setiap kategori berpeluang merebut kejuaraan yang menawarkan hadiah wang tunai, medal dan piala pusingan i-FINOG.

178 dibaca
Berita Harian X