Sabtu, 20 April 2019 | 2:07pm
DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah mahu pihak berkuasa mempertingkatkan serta memperketatkan rondaan di sekitar perairan Johor. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Tingkatkan rondaan elak pembuangan sisa oleh kapal tangki - Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mahu pihak berkuasa mempertingkat dan memperketatkan rondaan di sekitar perairan negeri ini.

Melalui entri terbaharu dalam laman Facebook rasmi baginda, hari ini, Sultan Ibrahim bertitah, rondaan itu bagi mengelakkan pembuangan sisa minyak kapal yang mengakibatkan pencemaran laut.

Merujuk kejadian tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di Kota Tinggi, baginda bertitah, perkara itu akan memberi pelbagai kesan negatif terhadap laut serta hidupan marin, selain menjejaskan pendapatan nelayan.

“Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan rondaan bagi mencegah aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki kerana ia akan memberi pelbagai kesan negatif,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah, pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan dan hukuman berat terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor), Dickson Dollah, sebagai berkata tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin yang mencemari perairan Tanjung Balau dan Batu Layar sejak Rabu lalu, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki.

Berita Harian X