Jumaat, 19 April 2019 | 2:16pm
PENGERUSI SPAN, Charles Santiago (dua dari kiri) pada sidang media di Cyberjaya, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman (kiri). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Gangguan bekalan air: 106 lori tangki dihantar, tiada rebat kepada pengguna

CYBERJAYA: Sebanyak 106 lori tangki air akan dihantar ke kawasan terjejas susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, berkata lori tangki itu akan dihantar mulai 26 April ini jika bekalan air masih belum pulih.

“Namun bagi kawasan kritikal seperti hospital dan pusat dialisis, bekalan air akan dihantar pada hari pertama bekalan air ditutup,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata, tiada rebat akan dibayar kepada pengguna domestik dan industri yang terjejas berikutan notis makluman berhubung perkara itu sudah diberikan.

Beliau berkata, melalui notis itu, pihaknya berharap pengguna terbabit dapat membuat persediaan dengan menyimpan air untuk kegunaan mereka selama dua hari.

“Kerja penambahbaikan ini tidak boleh ditangguh memandangkan perkakasan sistem bekalan elektrik berkenaan sudah kritikal dan bagi mengelakkan gangguan air tidak berjadual pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes kecemasan dan mereka yang memerlukan bekalan air pula, boleh menghubungi talian Hotline 15300 atau talian WhatsApp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka 24 jam.

Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan gangguan bekalan air hingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja penambahbaikan itu.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, dilaporkan berkata kerja penambahbaikan itu bermula dari jam 9 pagi hingga 11 malam, iaitu selama 14 jam, dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.

“Henti tugas LRA SSP2 ini akan menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam, bergantung pada lokasi dan kedudukan pengguna. Sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan.

“Air Selangor menjangkakan hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam,” kata Santiago.

2052 dibaca
Berita Harian X