Selasa, 16 April 2019 | 5:14pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad (tiga dari kanan). - Farid Noh

Sita PPR Sri Alam ikut SOP - EXCO

JOHOR BAHRU: Tindakan Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan menyita 11 kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam di Pasir Gudang, hari ini adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata klausa tindakan penguatkuasaan jika penyewa gagal membayar sewa juga sudah dinyatakan dalam Perjanjian Sewaan antara penyewa dan kerajaan.

Katanya, jumlah tunggakan 11 kediaman PPR Sri Alam itu adalah antara RM1,100 hingga mencecah RM9,300 sedangkan sewa bulanan RM124 sahaja.

“Ini bermakna mereka tinggal di sana antara setahun hingga enam tahun tanpa membuat bayaran sewaan dan jumlah tunggakan sewaan di PPR Sri Alam melebihi RM300,000 serta jumlah tunggakan lapan PPR di Johor kira-kira RM1.5 juta.

“Kes PPR Sri Alam pagi tadi kesemuanya ada 11 kes yang mempunyai tunggakan yang besar di mana enam penyewa sudah membuat bayaran, manakala lima lagi sudah membuat akujanji bagaimana cara mereka akan menyelesaikan tunggakan sewa itu.

“Saya sudah meminta SUKJ Perumahan membuka semua lima rumah yang disita dan penyewa sudah dibenarkan untuk memasuki semula rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkefly berkata, statistik rumah sewa PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) menunjukkan hanya 40 hingga 45 peratus penyewa yang membayar sewa.

“Oleh itu kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi ke atas bangunan PPR dan RSK, termasuk kos penyelenggaraan lif.

“Saya berharap operasi penguatkuasaan terhadap rumah PPR dan RSK akan memberikan kesedaran tanggungjawab mereka sebagai penyewa untuk membuat bayaran sewaan sebagaimana yang sudah ditetapkan dalam perjanjian sewaan,” tambahnya.

Hari ini, viral beberapa gambar dan video menunjukkan penghuni PPR Sri Alam didakwa diusir dan diminta mengosongkan kediaman mereka.

175 dibaca
Berita Harian X