Selasa, 16 April 2019 | 2:47pm
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - NSTP/Amran Hamid

Kedah atasi masalah air tidak berhasil

ALOR SETAR: Kerajaan negeri dalam proses mendapatkan pinjaman mudah kira-kira RM200 juta bagi melaksanakan projek penggantian paip yang menyebabkan kehilangan air yang dikategorikan sebagai Air Tidak Berhasil (NRW).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pinjaman daripada bank antarabangsa itu perlu dibuat berikutan kadar NRW yang mencecah 49 peratus.

Katanya, projek penggantian paip bagi mengatasi masalah NRW dirancang bermula tahun ini kerana masalah itu menyebabkan kerugian sumber yang besar kepada kerajaan.

“Kerajaan negeri dengan bantuan Kementerian Kewangan dalam rancangan mendapatkan pinjaman pada kadar bayaran balik mudah dari bank luar negara yang akan digunakan bagi menyelesaikan masalah NRW.

“Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam proses menentukan lokasi di mana paip berkenaan akan diganti dengan pelaksanaannya dijangka bermula sebaik pinjaman diperoleh,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf mendedahkan, kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan masalah pembaziran air NRW akibat masalah paip bocor.

Beliau dipetik berkata, ketika ini pengguna Kedah hanya menerima kira-kira 800 juta liter air sehari berbanding 1,500 juta liter air yang disalurkan setiap hari.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri masih menunggu pengesahan berhubung penghapusan hutang infrastruktur air Kedah berjumlah RM1.699 bilion yang diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar di Dewan Rakyat pada 3 April lalu.

“Kita menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan yang sedia menghapus kira hutang infrastruktur air Kedah.

“Kita juga berharap bantuan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menyelesaikan masalah air di Kedah turut termasuk menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang sudah lama,” katanya.

Mengambil contoh LRA Tupah yang dibina pada 1945, beliau berkata loji itu kini tidak dapat merawat air mengikut keperluan penduduk berikutan kapasitinya yang kecil, walaupun ketika waktu musim hujan.

Berita Harian X