Jumaat, 12 April 2019 | 10:37pm
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek. - Foto Hazreen Mohamad

Jajaran baharu ECRL rangsang ekonomi Negeri Sembilan

SEREMBAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula pembinaannya dengan jajaran baharu meliputi Negeri Sembilan diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata pembinaan itu inisiatif yang baik daripada kerajaan dan membantu perancangan pengembangan ekonomi Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri Sembilan menyokong penuh laluan ECRL melalui negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL yang dikurangkan kepada RM44 bilion mencerminkan komitmen kerajaan dalam penyediaan prasarana terbaik untuk rakyat.

“Pada masa sama kos yang lebih rendah akan mengurangkan bebanan kewangan negara,” katanya.

Projek ECRL berkenaan diumum disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Wakil Khas Perdana Menteri Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata, pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Projek ECRL itu dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan digantung tahun lalu oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan kos yang terlalu tinggi. - BERNAMA

1683 dibaca
Berita Harian X