Jumaat, 12 April 2019 | 5:16pm

NS sambut baik jajaran baharu

SEREMBAN: Kerajaan negeri menyambut baik jajaran baharu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui negeri ini, yang diyakini dapat merangsang pembangunan ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Abd Malek, berkata laluan ECRL yang bermula dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor akan menghubungkan Selat Melaka ke Laut China Selatan secara lebih cekap.

“Laluan ini akan membantu perancangan pengembangan ekonomi di Negeri Sembilan ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Projek mega ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion.

China dan Malaysia bersetuju untuk meneruskan projek kontroversi itu dengan formasi landasan berkembar, namun jarak jajaran sepanjang 688 kilometer (km) itu dikurangkan 40 km kepada 648 km.

Kos juga dikurangkan daripada RM98 juta per km kepada RM68 juta per km dan terdapat beberapa hentian tidak dapat diteruskan, antaranya Gombak.

Difahamkan, laluan ECRL yang disyorkan itu akan bermula dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Mengulas mengenai pengurangan kos pembinaan, Dr Mohamad Rafie berkata, penjimatan sebanyak RM21.5 bilion dari kos asal menunjukkan kerajaan komited untuk memesatkan ekonomi dengan penyediaan kemudahan prasarana.

“Pada masa yang sama, kos lebih rendah ini akan mengurangkan bebanan kewangan negara,” katanya.

848 dibaca
Berita Harian X