Jumaat, 12 April 2019 | 2:21pm
Mariatul Qiptiyan (tengah) bersama sukarelawan Sekolah Menengah Sains Alam Shah sempena Projek Konservasi Hutan Simpan Bukit Nanas di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

Pagar Taman Eko Rimba Kuala Lumpur elak diceroboh

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan memasang pagar di sekeliling Taman Eko Rimba Kuala Lumpur yang dulu dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas, seluas 9.37 hektar di sini, bagi mengelak ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Pengarahnya, Mariatul Qiptiyan Md Sah, berkata tindakan itu dilakukan bagi memelihara hutan semula jadi tertua di Kuala Lumpur itu yang kini berusia 160 tahun.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya mengesan tindakan dilakukan individu tertentu merosakkan hutan semula jadi itu termasuk menebang pokok.

“Selain memagar kawasan hutan berkenaan, kita juga melakukan rondaan bagi mencegah pencerobohan daripada terus berlaku.

“Walaupun pelancong atau mereka yang masuk dalam hutan ini tidak dikenakan bayaran, kita akan memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak membuang sampah merata-rata dan memelihara keaslian hutan ini dengan baik,” katanya selepas merasmikan Projek Pemuliharaan Hutan Simpan Bukit Nanas di sini, hari ini.

Majlis anjuran Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan, EcoKnights dan Vanke Malaysia, pemaju hartanah kediaman terbesar di China itu turut disertai 30 pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Alam Shah.

Taman Eko Rimba Kuala Lumpur adalah satu-satunya kawasan hutan asli jenis Dipterokarp Pamah yang masih wujud di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Hutan lipur ini adalah hutan simpan tertua di Semenanjung Malaysia dan kedudukannya yang strategik di tengah Kuala Lumpur dikelilingi bangunan pencakar langit yang menjadikannya penting dalam memainkan peranan sebagai ‘green lung’ di Kuala Lumpur, taman hutan dan hutan pendidikan serta penyelidikan.

Beberapa kemudahan disediakan kepada pengunjung di kawasan hutan yang dibuka setiap hari bermula jam 7 pagi hingga jam 6 petang itu termasuk padang permainan, pondok dan bangku rehat, kawasan perkhemahan serta laluan jogging.

Selain itu, satu pusat maklumat yang lengkap dengan bahan pameran dan infokiosk mengenai perhutanan turut disediakan.

Mariatul Qiptiyan berkata, pelajar sekolah yang terbabit pada program itu didedahkan dengan kepentingan memulihara alam sekitar menerusi penanaman semula 30 pokok.

“Selain aktiviti penanaman pokok buah-buahan seperti pokok langsat dan cermai, bengkel eko-enzim turut diadakan bagi mendidik peserta menggunakan sisa berasaskan tumbuhan seperti kulit buah-buahan dan sayuran berdaun, gula perang dan air untuk mencipta agen pembersihan pelbagai guna mesra alam melalui proses penapaian.

“Kita akan cuba mendapatkan penyertaan pelajar sekolah di sekitar Bukit Nanas untuk menjayakan program seperti ini pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program EcoKnights, Fadly Bakhtiar berkata, penanaman pokok buah-buahan ini memberi manfaat bukan saja kepada manusia, tetapi juga ekosistem.

“Tahun lalu, 100 pokok ditanam di sekeliling sungai Kuala Lumpur dan 90 peratus pokok ditanam masih dalam keadaan baik sehingga kini.

“Pemilihan Taman Eko Rimba Kuala Lumpur ini kerana ia lokasi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara dengan lokasinya mudah dikunjungi,” katanya.

Pelajar SMS Alam Shah, Ihsan Ishak, 14, pula berkata beliau gembira menyertai program yang memberi banyak manfaat ini kerana ia mendidik dirinya berhubung penanaman pokok dan kepentingannya dalam kehidupan.

“Program seperti ini harus mendapat sokongan orang ramai kerana menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab semua orang,” katanya.

205 dibaca
Berita Harian X