Isnin, 8 April 2019 | 9:21am
Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Haron (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun (dua dari kiri) selepas majlis jamuan makan tenghari bersama penaja Srikandi Bersatu Sabah 25 bahagian seluruh Sabah. - Foto ihsan BERSATU Sabah

RM1.13 bilion peruntukan luar bandar di Sabah tahun ini

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan berjumlah RM1.13 bilion untuk membina kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan sistem jalan raya di kawasan luar bandar di Sabah pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata Sabah antara negeri tertinggi menerima peruntukan daripada KPLB untuk tahun ini khusus untuk keperluan dan kemudahan penduduk kawasan luar bandar.

Beliau berkata, ia termasuk menyediakan sebanyak 44 program ameniti sosial seperti menaik taraf dan membaik pulih masjid serta surau, dewan serbaguna, jambatan dan sistem perparitan di kawasan luar bandar Sabah membabitkan peruntukan RM6.47 juta pada tahun ini.

“Kementerian juga mengenal pasti sebanyak 50 projek jalan perhubungan desa untuk dilaksanakan di negeri ini pada peringkat pertama tahun ini membabitkan peruntukan RM10 juta.

“Projek jalan perhubungan desa itu sudah diluluskan dan dalam proses sebut harga. Pembinaan projek itu dijangka siap pada Jun 2019. Kementerian juga sedang mengenal pasti senarai jalan perhubungan desa yang akan dilaksanakan bagi peringkat kedua kelak mengikut keutamaan keperluan,” katanya pada majlis bersama Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, di sini, semalam.

Yang turut hadir Ketua Penyelaras Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun yang juga Ahli Parlimen Beaufort; Timbalan Ketua Srikandi BERSATU, Shamsilah Siru; Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU, Saadiah Ismail; Timbalan Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Amisah Yassin dan Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda.

Rina berkata, kementeriannya turut merancang mengadakan Karnival Usahawan Desa (KUD) peringkat Zon Borneo pada Ogos depan sebagai platform usahawan terutama di luar bandar untuk memasarkan produk mereka.

“Karnival ini mampu membantu usahawan desa untuk mencari peluang meningkatkan produktiviti pengeluaran dan pasaran baharu selain menggalakkan pemasaran secara dalam talian,” katanya

Beliau yang juga Ketua Srikandi BERSATU, berkata menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Sabah menerima peruntukan sebanyak RM22.04 juta dana untuk manfaat usahawan di negeri ini.


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika melakukan lawatan projek pembaikan cerun yang telah siap di Tabika Kemas Kampung Limbanak Penampang, semalam. - Foto BERNAMA

“Pemberian peruntukan berkenaan adalah mengikut bidang perniagaan termasuk berkaitan gaya hidup, kesihatan, pembinaan, makanan dan teknologi. Program yang dirancang memfokuskan kepada peningkatan dan memperkasakan usahawan sedia ada agar lebih berdaya saing dan mampu melonjakkan ekonomi diri serta negeri,” katanya.

Dalam hal lain, beliau berkata pihaknya akan memastikan 30 peratus daripada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terdiri daripada wanita sejajar dasar yang ditetapkan kementeriannya bagi meningkatkan pembabitan wanita dalam pengurusan kampung.

Majlis berkenaan adalah program pertama Srikandi BERSATU Sabah selepas parti itu dilancarkan di negeri ini oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu lalu yang turut menyaksikan enam bekas wakil rakyat UMNO dan seorang daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menerima kad keahlian masing-masing.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Ariffin Arif, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Bobbey Suan (Nabawan).

Bulan lalu, Ketua Penyelaras BERSATU Sabah yang juga ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Noor bersama ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun; Azizah; Datuk Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan dua Ahli Dewan Negara iaitu Senator Datuk John Ambrose serta Senator Datuk Abdul Ghani Yassin menerima kad keahlian mereka di Putrajaya.

Berita Harian X