Jumaat, 5 April 2019 | 7:10pm
CAI TUNG (dua,kanan) mengadakan lawatan selepas majlis perasmian MATTA Johor yang diadakan di Capital City Expo Hall, Tampoi, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini.

Pencemaran tidak jejas pelancongan ke Johor

JOHOR BAHRU: Pencemaran sisa kimia yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, dekat sini, bulan lalu tidak menjejaskan kemasukan pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung, berkata pihaknya tidak menerima laporan pelancong membatalkan percutian di negeri ini berikutan kejadian berkenaan.

“Johor selamat untuk dikunjungi dan pelancong dalam dan luar negara yakin untuk bercuti di sini. Kita tidak menerima aduan pelancong takut untuk datang atau membatalkan tempahan berikutan kejadian pencemaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Johor yang diadakan di Dewan Ekspo Capital City, Tampoi, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi MATTA Johor, Kathryn Lee.

Dalam kejadian pencemaran yang berlarutan lebih seminggu bermula 7 Mac lalu, seramai 5,848 kanak-kanak dan orang dewasa dirawat akibat terhidu gas kimia yang berpunca daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Sementara itu, Cai Tung berkata kemasukan pelancong ke negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 8.82 peratus tahun lalu iaitu seramai 15.84 juta orang berbanding 14.44 juta pada tahun sebelumnya.

“Kerajaan negeri menyasarkan 16.6 juta pengunjung datang ke Johor tahun ini dengan lapan juta daripada mereka bermalam sekurang-kurangnya satu malam.

“Sempena Tahun Melawat Johor 2020 dan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, kita menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 17.4 juta pelancong tahun hadapan,” katanya.

Berita Harian X