Khamis, 4 April 2019 | 2:50pm

Pelepasan rama-rama terbanyak

KUALA LUMPUR: Sebanyak 600 rama-rama dilepaskan di Garden of Nature, Pusat Sains Negara di sini, hari ini, sekali gus mencatat Malaysia Book of Records (MBOR).

Ia program utama sempena Minggu Sains Negara 2019 bertemakan ‘Sains Untuk Kesejahteraan’ yang bermula pada Isnin lalu hingga Ahad ini.

Sebanyak 10 spesies rama-rama dilepaskan antaranya, Papilio polytes, Captosilia pomona, Junonia orithya, Danaus genutia dan Euploe mulciber.

Seramai 120 pelajar Tahun Enam dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Precint 8 (2) melepaskan 600 rama-rama berkenaan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya.

Sijil pengiktirafan MBOR diserahkan oleh Pengurus Acara dan Komunikasi

Korporat MBOR, Aaron Bong Keng Jin kepada Mohd Azhar.

Mohd Azhar yang turut menyempurnakan pelepasan rama-rama itu berkata, program berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Katanya, rama-rama juga simbol kecantikan, kebebasan dan pengukur tahap kesihatan ekosistem sesuatu tempat.

“Saya tertarik dengan ucapan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang diadakan sempena pelancaran Minggu Sains.

“Beliau memberi mesej bahawa sains dan teknologi memainkan peranan besar dalam mencapai kesejahteraan negara dan rakyat.

“Saya juga berharap lebih ramai orang yang akan berkunjung di sini pada hujung minggu untuk melihat galeri pameran baharu dan singgah ke Garden of Nature Pusat Sains Negara di sini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, pelajar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Precint 8 (2), Miza Umaira Muhd Ridzuan berkata, mereka sendiri memilih untuk menyertai program berkenaan kerana kagum dengan warna menarik serangga itu.

“Walaupun saya takut dengan rama-rama tetapi saya pencinta serangga dan haiwan,” katanya.

166 dibaca
DR Mohd Azhar Yahaya (tengah) bersama para pelajar melepaskan 500 ekor rama-rama di Garden Of Nature sempena Pelancaran “ Butterfly Go Free”( The Most Number of Butterflies Released In An Event) Sempena Minggu Sains Negara 2019 di Pusat Sains Negara. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Berita Harian X