Rabu, 3 April 2019 | 3:22pm
MOHAMMAD Hamdan (kiri) bersama Lee Lam Thye sempena Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM di Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Lam Thye terima pingat kebesaran tertinggi JBPM

PUTRAJAYA: Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, 73, menerima pingat kebesaran tertinggi Jabatan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini di atas sumbangannya terhadap aspek keselamatan dan kebajikan warga JBPM.

Lam Thye, yang juga Ahli Lembaga Pengarah NSTP, menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP) daripada Ketua Pengarah JBPM Datuk Muhammad Hamdan Wahid pada majlis istiadat penganugerahan pingat kebesaran JBPM di sini, hari ini.

Pemilihan Lam Thye berdasarkan sumbangan beliau kepada JBPM dan juga masyarakat atas kapasitinya sebagai Pengerusi NIOSH, ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) dan pengerusi Yayasan EcoWorld.

Beliau, ketika ditemui pemberita, berkata antara perkara yang dibangkitkan adalah keperluan menaikkan gaji anggota JBPM kerana tugas mereka kini dilihat semakin mencabar dan sama penting seperti anggota keselamatan lain.

“Saya juga berharap lebih banyak peruntukan disediakan kerajaan untuk pembelian jentera dan peralatan yang canggih manakala peralatan perlindungan diri (PPE) terkini juga perlu dibekalkan untuk kegunaan anggota JBPM,” katanya.

Sebagai ahli MKAA pula, Lam Thye berkata beliau akan memperjuangkan betapa perlunya seseorang anggota bomba untuk meningkatkan kemahiran dalam menangani kes lemas serta mengelak daripada menjadi mangsa.

Selain Lam Thye, dua lagi individu menerima PKP iaitu Amran Ahmad yang kini bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Norizan Sulaiman yang baru bersara selepas lebih 30 tahun berkhidmat bersama JBPM.

Secara keseluruhan, 124 penerima dianugerahkan pingat kebesaran JBPM hari ini termasuk 17 pengamal media yang menerima Pingat Cemerlang Bomba (PCB).

Dalam pada itu, empat pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berkhidmat di Pangkalan Udara JBPM Subang dianugerahkan Pingat Jasa Bomba (PJB) iaitu Leftenan Kolonel Rosli Hashim; Leftenan Kolonel Mohamad Sobri Md Jaeh; Mejar Zahrolayari Abd Talib dan Kapten Sidek Abas.

Pada majlis itu, empat kakitangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) menerima PCB iaitu wartawan BH, Tuty Haryanti Ahmad Rodzi dan Suhaila Shahrul Annuar; wartawan New Straits Times (NST), Nur Aqidah Aziz dan jurugambar NSTP, Ahmad Irham Mohd Noor.

Berita Harian X