Sabtu, 30 March 2019 | 8:20pm
PASIR GUDANG 30 MAC 2019. Hampir 300 anggota termasuk dari Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), polis, guru dan ibu bapa berganding bahu membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, dua sekolah paling terjejas sisa kimia berbahaya, selepas lebih tiga minggu ia ditutup. - Foto ihsan Sekolah

Ibu bapa, guru, polis, sukarelawan bergabung bersihkan sekolah

PASIR GUDANG: Hampir 300 anggota termasuk dari Unit Pasukan Simpanan Persekutuan ( FRU), polis, guru dan ibu bapa berganding bahu membersihkan dua sekolah paling terjejas sisa kimia berbahaya, selepas lebih tiga minggu ia ditutup.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih paling terjejas berikutan terletak di zon merah bencana dengan jarak Sungai Kim Kim hanya kira-kira 200 meter dari sekolah berkenaan.

Pengetua SMK Pasir Putih, Wardah Ismail berkata, proses pembersihan dijalankan seawal jam 8 pagi tadi bagi memastikan kawasan sekolah, terutama bilik darjah berada dalam keadaan bebas daripada sisa toksik berbahaya.

“Seramai 65 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, termasuk 60 guru dan 20 ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama-sama membersihkan sekolah bagi persediaan sekolah dibuka esok.

“Antara kerja pembersihan dijalankan termasuk menggelap tingkap, kipas dan peralatan sekolah selain membasuh fabrik terutama langsir,” katanya ketika dihubungi.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu itu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara.


Hampir 300 anggota termasuk dari Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), polis, guru dan ibu bapa berganding bahu membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, dua sekolah paling terjejas sisa kimia berbahaya, selepas lebih tiga minggu ia ditutup. - Foto ihsan Sekolah

Guru Besar SK Taman Pasir Putih, Abdul Rashid Ahmad, pula berkata seramai 145 orang termasuk FRU, guru,badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan guru hadir membersihkan sekolah berkenaan hari ini.

“Alhamdullilah,kerja pembersihan sudah selesai dengan kerjasama semua pihak yang membantu.

“Esok sekolah akan dibuka seperti biasa namun diarahkan tiada aktiviti luar diadakan selama seminggu sebagai langkah berjaga-jaga, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata kualiti udara di 30 sekolah di dalam radius 10 kilometer di sekitar Pasir Gudang menunjukkan kualiti udara di dalam paras yang dibenarkan dan stabil.

“JAS juga menjalankan pemantauan di lokasi tertentu di dalam lingkungan 15 kilometer radius dari punca kejadian dan secara keseluruhannya keputusan bagi data pemantauan kualiti udara di lokasi berkenaan adalah di dalam paras yang dibenarkan dan di dalam keadaan yang stabil.

“JAS akan terus melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan yang terjejas bagi memastikan kualiti udara adalah di dalam paras yang dibenarkan bagi penduduk tempatan serta murid-murid di sekolah terbabit.

“Pemantauan kualiti udara ini juga adalah bagi memastikan kejadian pelepasan bahan toksik ke udara tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

238 dibaca
Berita Harian X