Sabtu, 30 March 2019 | 2:16pm
Zariah mencuci ketumbuhan misteri dibelakang pinggang Muhamad Arshad Daniel, 12, yang kerap mengeluarkan darah. - Foto Ramli Ibrahim.

Budak 12 tahun derita ketumbuhan misteri di belakang pinggang

GUA MUSANG: “Mohon doakan anak kembali sihat selepas menerima rawatan kali kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Isnin ini,” kata Zariah Wahab, 39, ibu kepada kanak-kanak 12 tahun yang mengalami ketumbuhan di belakang pinggang, sejak lahir.

Penyakit Muhamad Arshad Daniel Halim, 12, itu semakin serius sejak sebulan lalu apabila ketumbuhan itu turut mengeluarkan darah.

Kanak-kanak itu kerap menangis menahan sakit.

Zariah berkata, dia menghantar anaknya menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) selama empat hari hingga Ahad minggu lalu.

“Bagaimanapun, hospital hanya dapat memberi ubat tahan sakit dan memasukkan darah sahaja.

“Pihak hospital berkenaan merujuk semula ke HUSM untuk rawatan lanjut pada Isnin (esok) dan berharap ada perubahannya.

“Saya menyerahkan kepada kepakaran pihak HUSM Kubang Kerian untuk merawat penyakit Daniel dan saya izinkan sekiranya pembedahan perlu dijalankan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan mohon kesembuhan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan penderitaan yang dialami Muhammad Arshad Daniel yang menderita penyakit ketumbuhan misteri di belakang pinggangnya sejak sebulan lalu.

Susulan itu, ibunya, Zariah memohon bantuan pihak yang dapat membantu merawat penyakit anaknya itu selepas pelbagai usaha dilakukan menemui jalan buntu.

Mengulas lanjut, katanya, sejak penderitaan anaknya menjadi viral di media sosial dan akhbar tempatan, ramai pihak yang prihatin tampil membantu.

“Ada yang menghubungi memberi kata-kata semangat disamping menghulurkan sumbangan kewangan. Terima kasih kepada semua yang membantu, hanya tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.

Berita Harian X