Khamis, 28 March 2019 | 8:05am

MPK kesal kilang tidak beri kerjasama

PELABUHAN KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) kesal dengan sikap sebahagian pengilang yang enggan memberi kerjasama dengan menutup premis ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan.

Yang DiPertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata kerjasama sukar kerana hampir semua kilang yang diserbu terpaksa dibuka dengan memotong pagar utama setiap premis.

"Ini satu tanda yang kurang baik kepada kita kerana MPK cuma menjalankan pemeriksaan tetapi tidak mendapat kerjasama daripada pengilang yang ada di sini.

"Kita dapati juga pengurus dan penyelia kilang yang sepatutnya menjaga kilang tidak berada di tempatnya, kemungkinan mereka sudah melarikan diri. Kesimpulannya, memang mereka tidak mahu beri kerjasama kepada kita.

"Bagaimanapun, ketika serbuan, ada pekerja menjalankan kerja seperti biasa tetapi terdiri daripada warga asing dari Indonesia dan Bangladesh, cuma satu kilang ada warga tempatan," katanya pada sidang media selepas serbuan terhadap kilang kelima, di sini, hari ini.

Mohamad Yasid berkata MPK sentiasa cuba membantu pihak yang ingin menjalankan operasi pengilangan dalam kawasan MPK.

"Saya berharap penghilang yang berurus niaga di Klang, pohonlah lesen daripada MPK dan patuhi semua arahan serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, contohnya dari segi pelan bangunan dan pelan merancang.

"Setakat ini, sebanyak 41 kilang diarahkan tutup dan kebanyakannya kilang plastik, manakala dua sudah disediakan kertas siasatan untuk dibawa ke mahkamah kerana mereka masih degil dengan terus beroperasi walaupun diarahkan tutup," katanya.

Beliau berkata, MPK hanya boleh mengarahkan kilang tutup, sekiranya mereka tidak mematuhi arahan, pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa mendapatkan arahan daripada mahkamah.

"Ini memerlukan sedikit masa untuk kita menyediakan kertas siasatan bagi mendapatkan perintah mahkamah.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Datuk Mohamad Yasid Bidin (dua dari kanan) mengeluarkan kompaun salah sebuah kilang haram yang diserbu dalam operasi kawasan Sungai Candong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. - Foto Faiz Anuar

"MPK juga tiada kuasa mengarahkan TNB atau SYABAS (menghentikan bekalan utiliti seperti air dan elektrik), bagaimanapun kita pohon kerjasama mereka bagi menangani kilang haram ini.

"Setakat ini, kita dapat kerjasama baik dari mereka apabila menjalankan operasi khususnya kerja merobohkan sebab jika tidak dipotong membahayakan keselamatan.

Dari segi kilang haram, kita masih lagi menunggu TNB dan SYABAS bantu memotong bekalan terbabit.

Berita Harian X