Rabu, 27 March 2019 | 6:37pm

Kanak-kanak hampir melayang dalam ribut

bhnews.com.my

ARAU: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun hampir melayang bersama buainya apabila bumbung rumah seorang penduduk diterbangkan angin dalam ribut di Kampung Baru Long Boh, Jalan Kepala 30, di sini, semalam.

Menceritakan kejadian itu, mangsa ribut, Mahadzir Hasan, 38, berkata kejadian yang berlaku pada jam 6 petang itu, dia sekeluarga berada di ruang tamu sebelum bumbung rumahnya terbang dibawa angin.

“Ketika itu saya sedang menonton televisyen, manakala isteri sedang mendodoi anak di buaian di bahagian utama rumah.

“Mulanya hanya hujan lebat, dan tiba-tiba diiringi angin kencang sehingga isteri mendukung anak bongsu kerana bimbang keadaan bumbung rumah yang bergegar kerana tali buaian diikat pada alang rumah.

“Selepas lima minit anak bongsu diangkat isteri, buaian bersama bumbung rumah kami terbang dibawa angin, malahan kami sempat melihat bumbung rumah bertebaran di langit sebelum hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Mahadzir berkata, mereka sekeluarga yang ketakutan berlindung di penjuru rumah dan berpelukan sesama mereka sehingga ribut reda selepas setengah jam.

Perkara yang sama turut dikongsikan Siti Hanum Yaakob, 32 selepas barangan perabot di rumahnya rosak teruk akibat terkena hujan.

“Ketika kejadian saya berada di rumah emak yang jauhnya hanya 200 meter sahaja dari rumah kami.

“Tiba-tiba penduduk kampung datang ke rumah emak dan maklumkan bumbung rumah kami hilang kerana dibawa ribut,” kata.

Siti Hanum berkata, anggaran kerugian akibat ribut yang membadai rumahnya bernilai hampir RM20,000.

“Kami berharap ada pihak sudi membantu memandangkan kami hanya bekerja sebagai petani dan menerima wang hasil tanaman padi yang tidak seberapa,” katanya.

Dalam kejadian ribut yang melanda semalam, empat keluarga di Kampung Baru Long Boh, Jalan Kepala 30 di sini kerugian hampir RM100,000 selepas perabot dan bahagian bumbung rumah mereka terjejas teruk.

MAHADZIR Hasan menunjukkan keadaan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin dalam ribut di Kampung Baru Long Boh, Jalan Kepala 30, Arau. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X