Rabu, 27 March 2019 | 4:17pm
MOHAMAD Yasid memeriksa salah sebuah kilang sisa ayam yang diserbu. - Foto Faiz Anuar

Kilang keluar bau busuk di Pulau Indah disita

PELABUHAN KLANG: Longgokan bulu ayam berbau busuk seperti bangkai dan takungan darah ayam dihurung lalat antara penemuan menjijikkan dalam serbuan ke atas kilang haram oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sekitar kawasan Sungai Chandong, Pulau Indah di sini pagi tadi.

Menurut Yang DiPertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata operasi terbabit dijalankan susulan aduan yang diterima dan risikan anggotanya.

"Empat daripada lima kilang yang diperiksa didapati tidak mempunyai lesen atau ada satu lesen saja untuk menyimpan barang tetapi tidak mempunyai lesen memproses tetapi tetap menjalankan operasi memproses.


MOHAMAD Yasid (dua dari kanan) mengeluarkan kompaun salah sebuah kilang haram yang diserbu dalam operasi kawasan Sungai Candong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. - Foto Faiz Anuar

"Ada kilang yang ditemui tidak mempunyai kedua-dua lesen iaitu mengilang dan menyimpan.

"Kita dapati ada kilang yang memproses (membabitkan bulu ayam), itu paling teruk sekali dan mengeluarkan bau busuk, malah membuang terus sisa kumbahan ke parit saliran umum, sudah tentu mencemarkan perparitan di kawasan kilang ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemeriksaan terhadap lima kilang termasuk kilang memproses plastik kitar semula, kilang memproses baja dan kilang kitar semula minyak kenderaan.

Operasi yang bermula seawal jam 9 pagi itu membabitkan Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan MPK.

Mohamad Yasid berkata, MPK mengeluarkan arahan tutup dan kompaun terhadap premis yang disita dengan dikenakan tindakan mengikut Undang-undang Kecil 3, Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007.

"Kompaun dikeluarkan kerana tidak mempunyai lesen mengilang, lesen menyimpan, dan tidak menjaga kebersihan.

"Tindakan selanjutnya terhadap kilang ini akan diambil di mana kita akan datang semula untuk melihat, adakah mereka mematuhi arahan kita.

"Sekiranya tidak, kita akan mengambil tindakan mahkamah serta meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) memotong bekalan elektrik dan air di kilang itu,” katanya.

Seorang pekerja kilang dicemari longgokan bulu dan takungan darah ayam berbau busuk seperti bangkai ayam, mendakwa kilang itu memproses sisa lebihan ayam untuk dijadikan baja.

Malah, katanya yang dikenali sebagai Nengsih, 50an, bau busuk seperti bangkai itu sudah dihadapinya sejak bekerja di situ kira-kira lima tahun lalu.

"Saya tinggal di dalam kilang ini dan kerja sini sejak lima tahun lalu, tidur di atas dan jaga kilang takut ada yang datang mencuri.

"Kilang ini proses bahan yang kita letak pada padi dan pokok, saya buat kerja ini, saya sapu sampah dan macam-macam," katanya yang memberitahu memperoleh gaji kira-kira RM1,500 sebulan," katanya kepada pemberita.

Kilang terbabit adalah lokasi keempat yang diserbu, malah ketika serbuan, pekerja lain melarikan diri meninggalkan wanita warga Indonesia terbabit.

Berita Harian X