Isnin, 25 March 2019 | 11:08am
Beberapa kanak-kanak tidak melepaskan peluang bermain wau di tepian sawah setiap petang dekat Kampung Ujung Padang walaupun ketika negara dilanda cuaca panas. - Foto BERNAMA

Musim panas beri kelebihan kepada peminat wau

KULIM: Cuaca yang panas dan kering memberi kelebihan kepada peminat wau untuk menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan dalam usaha mengekalkan minat masyarakat terhadap permainan tradisional itu.

Seorang suri rumah yang juga pemain wau, Mastura Hashim, 37, berkata musim panas disertai tiupan angin kencang waktu paling sesuai untuk menerbangkan wau.

“Saya dan keluarga pada kebiasaannya bermain wau pada waktu petang kerana cuaca agak redup dan keadaan angin juga sangat sesuai untuk menaikkan wau ini,” katanya yang berasal dari Kampung Guar Lobak di sini.

Mastura yang pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan wau anjuran Mukim Sidam Kanan berkata, peluang yang ada pada masa ini digunakan sebaik-baiknya untuk berlatih dan menajamkan kemahirannya dalam menaikkan wau.

“Pertandingan wau sering menawarkan hadiah yang lumayan setiap tahun dan saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya,” katanya yang gemar menggunakan wau daun hasil kreativiti sendiri sejak 10 tahun lalu.

Seorang warga Indonesia, Iwan Lailan Kusmilang, 38, pula berkata cuaca panas di sini tidak menghalang minatnya untuk menerbangkan layang-layang, sebaliknya keadaan itu sangat sesuai untuk permainan itu.

“Tiada bezanya cara bermain layang-layang di Indonesia atau Malaysia. Kebiasaannya, di sana kami juga main pada waktu lepas tuai padi dan cuaca panas kerana ketika itu angin sangat baik,” katanya.

Sementara itu, penganjur Pertandingan Wau Mukim Sidam Kanan, Rostam Hussin, berkata cuaca panas yang melanda negara tidak akan menghalang pertandingan itu daripada terus dilaksanakan setiap tahun.

“Sebagai penganjur saya juga bersiap sedia dengan isu cuaca panas yang boleh menyebabkan strok haba. Jadi, saya memilih waktu pagi dan petang untuk menaikkan wau kerana lebih redup.

“Saya juga yakin pertandingan wau yang akan diadakan di sini hujung bulan ini akan menarik lebih ramai peminat wau untuk menyertainya,” katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau berkata, pihaknya akan mengingatkan peserta supaya mengenakan pakaian bersesuaian seperti topi sebagai pelindung cahaya matahari. - BERNAMA

83 dibaca
Berita Harian X