Sabtu, 23 March 2019 | 9:05pm
AMIRUDIN Shari, Dr Md Radzi (dua dari kiri) ketika majlis penutup Kejuaraan Wajadiri Pusaka Hanafi IP dan Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Seksyen 21. - Foto Saddam Yusoff.

Silat bukan bermakna menyerang membabi buta, bawa kerosakan - Amirudin

SHAH ALAM: Ahli seni persilatan termasuk seni silat Cekak Pusaka Hanafi wajar mengambil iktibar daripada semangat dan pengajaran yang diterapkan dalam aktiviti berkenaan dalam mempertahankan diri, bangsa dan agama serta negara.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata ia tidak bermakna mereka boleh menyerang dengan membabi buta atau membawa kerosakan.

Beliau berkata, sebaliknya, ahli seni silat perlu menghayati bahawa seni mempertahankan diri itu mengajar ahlinya serta memelihara, keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang negara miliki dan bukan mengajar mereka menjadi angkuh serta mengacum atau menghasut.

Katanya, kegiatan silat dan aktiviti sihat seperti yang ditunjukkan silat Cekak Pusaka Hanafi sedikit sebanyak berjaya menghindarkan anak muda dan generasi masa depan daripada masalah moral dan sosial antara lain penyalahgunaan dadah yang masih lagi menjadi musuh nombor satu negara.

“Memang, dalam silat apatah lagi silat Cekak Pusaka Hanafi asas kepada kita ialah mempertahankan, bukan menyerang membabi buta, bukan melakukan amukan yang membawa kerosakan tetapi ingin mempertahankan diri. Mengelakkan diri kita, keluarga kita dan masyarakat, mempertahankan maruah, agama bangsa.

“Tetapi dalam konteks ini bukan kita menyerang sebaliknya saya berharap kita bersama-sama berdiri teguh untuk mempertahankan maruah, jati diri dan nasib bangsa masa depan.

“Saya berharap silat Cekak Pusaka Hanafi dapat bersama hasrat kerajaan membangunkan negara, membina semula negara kita dengan semangat membawa menitik beratkan jati diri di samping mempertahankan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kejohanan Wajadiri Pusaka Hanafi Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 di Kompleks Sukan Panasonic, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden Silat Cekak Pusaka Hanafi, Sheikh Dr Md Radzi Hanafi.

Pada majlis berkenaan Amirudin turut menyampaikan hadiah kepada Juara Keseluruhan Utama kejohanan iaitu pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan.

Amirudin berkata, beliau juga percaya falsafah dari seni silat adalah mempertahankan diri, keperibadian, sikap dan jati diri daripada diserang gejala kurang sihat dan kurang bermoral.

Katanya, ia juga menuntut ahlinya mempertahankan maruah bangsa dan agama daripada dirosakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat dan menunjukkan kemuliaan bangsa dan agama selain mempertahankan kesejahteraan kemakmuran negara kita bukan dengan cara menghina, merosakkan apatah lagi mencabar dan mengganggu gugat kestabilan yang dikecapi.

Pada masa sama, Amirudin mahu semua pihak menghayati apa yang berlaku di New Zealand minggu lalu, yang menyaksikan jemaah di dua masjid di Christchurch diserang sehingga mengorbankan 50 nyawa.

Katanya, perkara itu disambut dengan kemarahan tetapi ia bukan disalurkan kepada mereka yang tidak bersalah atau agama dan bangsa lain.

“Sebaliknya kita harus menunjukkan keperibadian bagaimana Rasulullah SAW ketika dihina, ketika dicerca, ketika baginda diludah baginda menunjukkan keperibadian yang baik yang halus dan tulus, sebaliknya hanya mempertahankan diri dan mengelak daripada membinasakan diri, keluarga dan negara,” katanya.

Berita Harian X