Jumaat, 22 March 2019 | 4:21pm
GEGANTUNG milik Lembaga Air Perak (LAP) yang tertera ejaan salah adalah untuk menarik perhatian orang ramai terutama generasi muda terhadap kempen penjimatan air. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Ejaan salah memang disengajakan

IPOH: Gegantung Lembaga Air Perak (LAP) yang tertera ejaan salah sekitar bandar raya ini menjadi tular di laman media sosial, hari ini adalah pendekatan berbeza untuk menarik perhatian orang ramai, terutama generasi muda terhadap kempen penjimatan air.

Gegantung yang tertera dengan ejaan ‘PNGUNA BJK SNTIASA BRJMAT’ (ejaan sepatutnya PENGGUNA BIJAK SENTIASA BERJIMAT) menerima kecaman daripada netizen yang menganggap LAP menulis ejaan Bahasa Melayu dengan cara salah.

Tinjauan mendapati gegantung berkenaan dipasang di tiang sekitar bandar raya termasuk di gegantung besar yang terpampang di pagar Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri di sini.

Diminta mengulas perkara itu, Pengurus Besar Lembaga Air (LAP) Perak, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa berkata, ia sebenarnya gimik yang dilakukan agensi itu secara kreatif untuk menarik perhatian umum secara lebih berkesan.

“Itu bukan salah ejaan, netizen punya gaya sekarang, kita buat gimik untuk menarik perhatian dan mengikut cara orang muda yang suka tulis gaya sebegitu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Air Sedunia 2019 yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai penggunaan perkataan dalam gegantung berkenaan dengan ada yang mengecam tindakan meminta orang ramai menjimatkan air sehingga huruf pun dijimatkan mengakibatkan rata-rata netizen mendakwa agensi berkenaan merosakkan penggunaan Bahasa Melayu.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, bekalan air di negeri ini dilaporkan masih berada pada tahap normal walaupun negara kini sedang berhadapan dengan musim kemarau.

Beliau berkata, operasi bekalan air tetap berjalan seperti biasa dan pengeluaran air turut berada di tahap normal dengan jumlah takungan air di empangan air yang berada di bawah kawalan LAP juga berada pada paras normal.

“Paras air di empangan Sultan Azlan Shah berada pada paras 241.21 meter (m) dengan kapasiti takungan sebanyak 85 peratus.

“Paras Empangan Air Kuning berada pada paras hamper maksimum iaitu 42.50 m dengan kapasiti takungan maksimum 42.52 m,” katanya.

Beliau berkata, walaupun bekalan air mencukupi, orang ramai diingatkan agar menggunakan air secara berhemah dan mengelak daripada melakukan pembaziran.

Katanya, orang ramai diminta memberi kerjasama untuk segera memaklumkan kepada pihak LAP Perak jika melihat terdapat sebarang kebocoran paip.

4289 dibaca
Berita Harian X