Khamis, 21 March 2019 | 3:56pm
HANIZA memberi kenyataan media mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemutihan PPR di sekitar Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor. - Foto Saddam Yusoff

Individu dikesan ada tunggakan sewa PPR RM25,250

SHAH ALAM: Seorang penyewa projek perumahan rakyat (PPR) di Selangor dikesan mempunyai tunggakan sewa bulanan sejak 10 tahun lalu berjumlah RM25,250.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha, berkata Penguatkuasa Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sudah beberapa kali mengeluarkan notis pengosongan rumah kepada individu itu, termasuk tindakan memotong bekalan elektrik dan air, namun masih enggan berpindah.

“Kadar sewa tiga PPR di bawah seliaan LPHS, iaitu PPR Kota Damansara, Hicom Shah Alam dan Serendah ialah RM250.

“Namun, kebanyakan penyewa melanggar syarat ditetapkan, antaranya bayaran sewa tidak konsisten, penyewa memberi sewa kepada pihak lain dan penyewa mempunyai pendapatan melebihi had kelayakan.

“Sudah banyak kali notis dikeluarkan, tetapi mereka degil. Apabila kita potong elektrik dia sambung bekalan secara haram pula, malah ada penyewa bersikap agresif cuba menyerang penguatkuasa LPHS,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Haniza berkata, setakat ini LPHS sudah mengusir 10 penyewa di PPR Kota Damansara dan lima penyewa di PPR Hicom.

“Selain itu, LPHS juga sudah mengeluarkan notis pengosongan kepada 25 penyewa di PPR Hicom dan 22 penyewa PPR Kota Damansara.

“Kita harap semua penyewa akur dengan arahan pengosongan. Jangan pentingkan diri kerana ramai di luar sana yang lebih memerlukan rumah PPR.

“Penyewa jangan cakap kita kejam apabila menghalau mereka. Kita sudah cukup berlembut. Bayangkan ada penyewa tidak bayar sewa bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 19 Mac tahun ini, jumlah pemohon yang masih menunggu kekosongan unit PPR Hicom, Serendah dan Kota Damansara masing-masing 440, 213 dan 201 orang.

473 dibaca
Berita Harian X