Rabu, 20 March 2019 | 8:34pm

Kakitangan MAHB dikebumikan di Batu Gajah

BATU GAJAH: Kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan dengan pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Changkat Belengkor di sini hari ini.

Mohd Ruzaimi Iskandar, 39, yang meninggal dunia kira-kira 6.45 petang semalam akibat kecederaan parah dalam kemalangan Isnin lalu dikebumikan kira-kira 5.45 petang.

Kira-kira 300 anggota keluarga dan rakan Allahyarham menghadiri pengebumian itu walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas.

Terdahulu jenazah Allahyarham Mohd Ruzaimi Iskandar disembahyangkan di Masjid Toh Puan Besar Hatijah di sini sejurus tiba dari Hospital Sungai Buloh, selepas selesai proses bedah siasat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia antara satu hingga 13 tahun.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Jeleha Awang, 70, ketika ditemui pemberita berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak kedua daripada tiga beradik itu kira-kira sebulan yang lalu.

“Walaupun mak cik sedih dan terkejut dengan pemergiannya, namun mak cik reda dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah.

Sepuluh tahun yang lalu, makcik kehilangan anak sulung lelaki akibat lemas dan makcik kehilangan seorang lagi anak lelaki. Jadi, sekarang ini makcik hanya tinggal anak bongsu perempuan sahaja,” katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan berkata Mohd Ruzaimi Iskandar ialah seorang pekerja yang berdedikasi dan sentiasa komited dalam apa jua tugasan.

Menyifatkan kematian Mohd Ruzaimi Iskandar sebagai satu kehilangan besar buat MAHB, pihaknya berjanji memberi sokongan penuh terhadap keluarga mangsa, termasuk membantu urusan pengebumian dan kebajikan keluarga. - BERNAMA

1217 dibaca
Nor Azawiah dan anaknya menyiram air mawar pada pusara Mohd Ruzaimi Iskandar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah. - NSTP/Abdullah Yusof
Berita Harian X