Rabu, 20 March 2019 | 3:59pm
Ketua Menteri merangkap ADUN Bukit Katil, Adly Zahari (tengah) pada sidang media Hari Keempat, Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Melaka lulus had tempoh Ketua Menteri 2 penggal

AYER KEROH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini, meluluskan usul mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada dua penggal.

Ketua Menteri, Adly Zahari, ketika membentangkan usul itu berkata, cadangan itu bagi menerapkan amalan tadbir urus yang baik dan telus dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik untuk memegang jawatan berkenaan kelak.

Selain itu, katanya, ia juga bakal membentuk sebuah institusi pentadbiran yang mewajibkan pembaharuan dibuat khususnya dalam kalangan pemimpin kerajaan dilantik sebagai ketua pentadbir kerajaan.

Beliau berkata, pada masa sama, langkah itu juga bagi meningkatkan keberkesanan proses semak dan berimbang serta mencegah penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pentadbir.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Pakatan Harapan (PH) negeri sudah menyatakan hasrat membawa pembaharuan dan reformasi dalam sistem politik negara ini jika diberi mandat oleh rakyat.

“Satu daripada pembaharuan dan reformasi politik yang dijanjikan adalah mengehadkan tempoh lantikan atau tempoh memegang jawatan tertinggi pada peringkat negeri seperti jawatan Ketua Menteri.

“Kami percaya dengan mengehadkan tempoh lantikan ini kepada dua penggal akan dapat meningkatkan keberkesanan proses semak dan berimbang, sekali gus mencegah penyalahgunaan kuasa,” katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini, hari ini.

November lalu, DUN Pulau Pinang meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri selama dua penggal.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri komited menunaikan janji dalam manifesto berkenaan dan bercadang mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Negeri menerusi Perkara 7, Fasal (2)(a).

Bagaimanapun, katanya, hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana meminda Perlembagaan Negeri menerusi RUU memerlukan undian dua pertiga daripada ADUN, seperti dinyatakan menerusi Perkara 36, Fasal (3).

“Kami sedar sukar mendapatkan undian dua pertiga dalam kalangan ADUN yang bersetuju menyokong RUU berkenaan kerana bilangan keahlian antara kerajaan dan pembangkang tidak jauh bezanya.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan pindaan RUU pada masa depan sebaik saja memiliki majoriti dua pertiga keahlian di Dewan ini,” katanya.

Berita Harian X