Rabu, 20 March 2019 | 1:31pm
ANGGOTA polis ketika menjalankan operasi untuk mengenalpasti rumah yang didirikan secara haram atau binaan tambahan tanpa kebenaran di Kampung Titingan, Tawau. - Foto ihsan polis

Lebih 100 rumah didirikan secara haram bakal diroboh

TAWAU: Lebih 100 rumah di Kampung Titingan di sini yang dikenal pasti didirikan secara haram akan dirobohkan dalam tempoh masa terdekat.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil, berkata operasi yang diselaraskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sudah dilakukan hampir sebulan, bukan hanya membabitkan kawasan setinggan di daerah Tawau, malah di seluruh Sabah.

Katanya, melalui operasi itu pihaknya mengeluarkan notis secara berperingkat kepada kepada pemilik rumah untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

“Mengikut peruntukan dan peraturan sedia ada, MPT mempunyai kuasa mengeluarkan notis tujuh hari sebelum struktur bangunan atau rumah yang didirikan secara haram atau tanpa kelulusan itu dirobohkan.

“Bagaimanapun dalam keadaan tertentu seperti atas permintaan polis, tempoh untuk kerja meroboh itu boleh dipercepatkan (kurang tujuh hari) kerana kita tidak mahu operasi ini menjadi tidak berkesan selain mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) di pekarangan MPT, hari ini.

Semalam, sebilangan penduduk setinggan di Kampung Titingan atau turut dikenali dengan panggilan Kampung Ice Box, diberi notis untuk mengosongkan rumah masing-masing yang dijalankan polis dan penguat kuasa MPT.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, menerusi satu kenyataan semalam, berkata operasi pemutihan itu tertumpu di kawasan penempatan setinggan yang dibina secara haram di kawasan perkampungan berkenaan, selain binaan tambahan yang tidak mendapat kebenaran MPT didirikan warga asing.

Sementara itu, Alijus berkata, pihaknya menjangka lebih 50,000 pengunjung dalam dan luar daerah hadir menyaksikan acara tahunan FKAT bermula semalam hingga 24 Mac ini, membabitkan penyertaan 29 etnik yang terdapat di daerah ini, selain wakil dari Indonesia dan Thailand.

FKAT kali ini dijangka dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahirudin dan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada acara kemuncak pada malam 23 Mac.

Berita Harian X