Selasa, 19 March 2019 | 1:25pm
Wakil media berkampung di luar perkarangan selepas diarahkan keluar dari bilik media di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Media diarah keluar dari Pusat Kawalan Operasi Bencana

PASIR GUDANG: Selepas sembilan hari berkampung di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bagi membuat liputan pencemaran Sungai Kim Kim, petugas media diarahkan keluar dari bangunan itu tengah hari ini.

Arahan terbaharu itu dikeluarkan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit hingga mencetuskan ketidakpuasan hati kumpulan media cetak dan elektronik yang sedang bertugas.

Insiden berkenaan berlaku ketika petugas media selesai membuat liputan penyerahan bantuan dari Pejabat Daerah Tangkak pada jam 12 tengah hari.

Tiga penguatkuasa mengarahkan petugas media keluar dari bangunan itu selain dilarang berada di dalam auditorium yang sebelum ini menjadi ruang media bekerja selain lokasi sidang media rasmi.

Tindakan berkenaan dikatakan atas arahan Yang Dipertua MPPG, Zainor Adani yang mengarahkan semua media beroperasi di luar bangunan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak, berharap pihak Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana (JPBB) tidak menyisihkan kehadiran petugas media sama ada di Stadium Tertutup Perbandaran Pasir Gudang dan Menara Aqabah.

Beliau berkata, Kelab Media Johor yang terdiri daripada 150 pengamal media, tidak meminta layanan istimewa, namun mahu diberi ruang dan peluang bagi membolehkan petugas media melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Mengapa petugas media diminta keluar sekarang sedangkan mereka membantu menyampaikan perkembangan dari kerajaan negeri malah tidak diberi sebab yang munasabah terpaksa keluar dari pusat operasi berkenaan,” katanya.

918 dibaca
Berita Harian X