Isnin, 18 March 2019 | 10:07am
- Foto Hiasan

Kawasan ternakan Pasir Gudang tidak terjejas

PASIR GUDANG: Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan tiada kawasan ternakan di sekitar Sungai Kim Kim, di sini yang terjejas akibat pencemaran sisa kimia beracun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata jabatan berkenaan melakukan kajian pencemaran terhadap haiwan ternakan di kawasan berkenaan sejak pagi semalam.

“Jabatan Veterinar melakukan kajian pencemaran terhadap haiwan ternakan di lokasi Sungai Kim Kim sejak jam 10 pagi semalam.

“Hasil daripada siasatan mendapati tiada kawasan ternakan terkesan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, lima parameter gas akan diperiksa bagi memastikan kualiti udara di kawasan terjejas pencemaran, terutama sekolah berada dalam keadaan selamat.

DR Sahruddin Jamal

Katanya, lima parameter gas yang diperiksa ialah oksigen, karbon monoksida, Low Exposure Limit (LEL), Volatile Organic Compound (VOC) dan hidrogen sulfida (H2S).

“Sebanyak 30 pasukan di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, terutama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia sudah digerakkan bagi memantau kualiti udara di 42 sekolah dalam radius lingkungan lima hingga sembilan kilometer dari kawasan pencemaran sejak semalam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 119 orang yang dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat terjejas pencemaran bahan kimia sudah dibenarkan pulang sehingga jam 12 tengah malam tadi.

“Sehingga kini hanya 29 pesakit masih dirawat di wad hospital, berbanding 120 pesakit yang dilaporkan semalam.

“Empat orang pesakit masih mendapatkan rawtaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding tujuh pesakit sebelum ini dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Berita Harian X