Selasa, 12 March 2019 | 4:18pm
Wee Tse (kanan) diiringi Mohd Riduan (dua dari kanan) dan Jamaluddin melihat Empangan Sungai Layang Atas ketika mengadakan lawatan kerja di Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, Pasir Gudang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

40,000 pengguna hadapi catuan bekalan air berjadual

PASIR GUDANG: Catuan bekalan air berjadual akan dilaksanakan di FELDA Lok Heng pada hujung minggu ini, diikuti kawasan Sedili di Kota Tinggi, membabitkan sejumlah 40,000 pengguna.

Kerajaan Johor terpaksa mengambil langkah itu berikutan empangan di kawasan terbabit sudah mencapai paras air yang kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata catuan bekalan air berjadual itu bakal membabitkan 25,000 pengguna di kawasan Sedili dan 15,000 lagi di Gugusan FELDA Lok Heng, Bukit Waha serta Easter.

Beliau berkata, paras air mentah di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng, Kota Tinggi, kini menyusut secara mendadak ke paras 1.43 meter berbanding paras normal 2.75 meter.

“Paras ini memaksa pihak Ranhill SAJ menjalankan (catuan) bekalan air berjadual kepada pengguna di kawasan terbabit pada hujung minggu ini.

“Muka sauk di Sungai Gembut yang membekalkan air mentah ke LRA Sungai Gembut bagi kawasan Sedili, turut menyusut ke paras 0.19 meter berbanding paras normal 0.70 meter, dan ia mampu bertahan selama lima hari menjelang paras catuan 0.00 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Empangan Layang Atas dan LRA Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Mohd Riduan Md Ali, dan Ketua Komunikasi Korporat Ranhill SAJ, Jamaluddin Jamil.

Wee Tse berkata, beliau berharap penduduk di kawasan terjejas dapat memahami keadaan yang berlaku berikutan cuaca panas dan kering luar biasa ketika ini.

“Kerajaan Johor sudah berusaha memastikan bekalan air mencukupi, namun saya berharap penduduk memahami ini disebabkan faktor cuaca panas dan kering melampau sehingga paras air susut mendadak,” katanya.

585 dibaca
Berita Harian X