Selasa, 12 March 2019 | 12:30pm
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menerima cenderahati daripada pemimpin masyarakat pada majlis makan malam sempena lawatannya ke Betong. - Foto ihsan Pejabat Ketua Menteri

Lapangan Terbang Betong hampir jadi kenyataan

BETONG: Impian penduduk Betong untuk melihat lapangan terbang dibina di bahagian itu kini semakin hampir menjadi kenyataan apabila Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengumumkan peruntukkan kerajaan negeri bagi melaksanakan projek berkenaan.

Beliau berkata RM101 juta sudah disediakan dan hanya menunggu masa untuk memulakan pembinaan lapangan terbang berkenaan.

“Malah, kami juga sudah membuat tempahan pesawat pengangkut jenis Cessna untuk beroperasi dari lapangan terbang itu nanti.

“Pesawat berkenaan mampu mengangkut tiga kontena hasil pertanian dalam satu penerbangan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena lawatan beliau ke Bahagian Betong, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian; Menteri Kemudahan Awam, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu.

Abang Johari memberi jaminan, semua projek yang dirancang dan diumumkan, termasuk Lapangan Terbang Betong, akan tetap dilaksanakan selagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberi mandat memerintah negeri ini.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM650.3 juta bagi melaksanakan projek pembangunan di bahagian berkenaan.

Peruntukkan itu termasuk RM199.5 juta untuk membina jalan raya di kampung serta RM102.4 juta untuk melaksanakan projek bekalan air bersih di kawasan luar bandar.

“Kita tidak boleh melaksanakan semua projek yang dirancang itu serentak kerana perlu melaksanakan yang amat diperlukan terlebih dulu.

“Sebab itulah projek pembangunan dilaksanakan secara berperingkat dan saya memberi jaminan ia akan dilaksanakan apabila tiba masanya,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan peruntukkan tambahan RM33 juta untuk melaksanakan beberapa projek baharu di Betong.

Ia termasuk projek pembinaan jalan raya yang bernilai RM18.5 juta raya dan projek tebatan banjir yang bernilai RM10 juta.

“Peruntukkan tambahan itu disalurkan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan Betong yang berpotensi besar untuk dijadikan sebagai kawasan pertanian moden berskala besar,” katanya.

192 dibaca
Berita Harian X