Ahad, 10 March 2019 | 8:34pm
GURU dan ibu bapa bergotong-royong membersihkan kelas susulan kejadian pencemaran udara akibat pembuangan sisa kimia. - Foto BERNAMA

SK Pasir Putih, SMK Pasir Putih dibuka esok

PASIR GUDANG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih di sini, yang ditutup sejak Jumaat lalu akibat pencemaran gas metana, dibuka semula esok.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan, berkata keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan oleh jabatan dan agensi berkaitan termasuk bomba mendapati kedua-dua sekolah itu selamat untuk digunakan.

"Proses pembersihan dan gotong-royong selesai dijalankan tanpa sebarang masalah hari ini, hasil permuafakatan sekolah bersama dengan pelbagai agensi kerajaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan penduduk sekitar.

"Terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama memastikan kedua-dua sekolah ini dapat beroperasi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


WIDAD Business Group (WBG)

Beliau berkata, 10 orang pelajar masih dirawat di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru termasuk tiga murid SK Pasir Putih dan SMK Pasir Putih (tujuh).

Khamis lalu, media melaporkan seramai 1,400 pelajar di SMK Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak yang belum dikenal pasti, kira-kira jam 2 pagi Khamis.

Berita Harian X