Ahad, 10 March 2019 | 6:12pm
KEADAAN Sungai Kim Kim yang dipenuhi tompokan hitam sisa kimia. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Tompokan hitam sisa kimia masih banyak

PASIR GUDANG: Lebih 150 penduduk Kampung Bukit Pulai di sini, yang terjejas akibat pencemaran gas metana Khamis lalu, bimbang dengan keselamatan mereka berikutan tompokan hitam sisa kimia masih memenuhi sungai berhampiran.

Tinjauan BH di kampung itu yang terletak tidak jauh dari kawasan pembuangan sisa kimia secara haram di Sungai Kim Kim, mendapati warna air sungai terbabit kini bertukar hitam serta berbau masam selain hidupan sungai termasuk ikan mati dan terapung.

Penduduk, Nursatria Rabu, 33, yang juga seorang nelayan, mendakwa masih banyak tompokan hitam sisa kimia yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab, terapung di kawasan bakau tidak jauh dari penempatan penduduk kampung itu.

“Semalam saya dan rakan turun ke laut untuk menangkap ikan namun apabila tiba di kawasan bakau di Sungai Kim Kim, kami ternampak banyak tompokan hitam pekat dengan hidupan sungai terutama bangkai ikan terapung memenuhi permukaan air di situ.

“Kawasan bakau berkenaan tidak jauh dari kampung ini dan sisa kimia itu masih mengeluarkan gas. Pada waktu malam, udara berbau busuk itu dapat dihidu seluruh penduduk kampung. Kami bimbangkan keselamatan terutama kanak-kanak dan bayi,” katanya ketika ditemui di tepi Sungai Kim Kim, di sini, hari ini.


PENDUDUK, Nursatria Rabu.

Semalam, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezzani Mat Salleh, dilaporkan berkata, kualiti udara di kawasan terjejas sudah stabil, namun pihaknya bimbang penyebaran gas berlaku semula apabila pasukannya melakukan kerja pembersihan sungai yang dijangka selesai esok.

Khamis lalu, media melaporkan seramai 1,400 pelajar di SMK Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia oleh sebuah lori tangki ke Sungai Kim Kim oleh pihak yang belum dikenal pasti, kira-kira jam 2 pagi Khamis.

Sementara itu, seorang lagi penduduk terjejas, Zulkifli Kassim, 50, turut bimbang kerana dua sekolah terbabit berada tidak jauh dari kawasan Sungai Kim Kim.

Zulkifli berkata, anaknya yang bersekolah di SMK Pasir Putih turut mengadu sakit tekak, dada dan pedih mata kerana menghirup udara tercemar sejak Khamis lalu.

“Waktu siang air sungai surut, jadi tompokan hitam sisa kimia terbabit tidak jelas kelihatan namun apabila air pasang, tompokan berkenaan nampak jelas hitam pekat.

“Udara pun tercemar dengan kombinasi bau masam dan tengik. Kami orang dewasa tak apa, tetapi kasihan dengan keluarga yang baru menyambut bayi. Ada ibu mengandung dan anak-anak yang tidak selesa dengan pencemaran udara yang semakin teruk,” katanya.

3419 dibaca
Berita Harian X