Sabtu, 9 March 2019 | 7:25pm

Sungai bertukar warna hitam, bau busuk

JASIN: Pencemaran Sungai Chohong yang berlaku, di sini, didakwa penduduk menjadi bertambah buruk, bukan hanya mengubah warna sungai itu menjadi hitam tetapi turut berbau busuk.

Demikian antara keluhan dibuat penduduk, Rosmah Ismail, 52, mengenai pencemaran air yang berlaku di Sungai Chohong, di sini, sejak semalam.

Rosmah yang juga peniaga warung makan mendakwa, golongan peniaga makanan sepertinya agak terjejas dengan masalah pencemaran itu apatah lagi warungnya terletak betul-betul di tepi sungai terbabit, yang menjadi sempadan antara negeri Melaka di Tangkak, Johor.

“Dulu pernah ada pencemaran di sungai ini, tapi tidak seteruk ini. Pagi Jumaat (semalam) dah bau, dan orang ramai baik yang tinggal di sekitar sini mahupun menerusi kumpulan WhatsApp, semua bercakap mengenainya.

“Saya yang memasak dan berniaga di sini, lagilah tidak tahan, sampai loya tekak, pening macam nak pitam terutamanya jika angin bertiup dan membawa bau busuk itu,” katanya ketika ditemui di warungnya, di sini, hari ini.

Difahamkan Sungai Chohong yang sepanjang kira-kira 11 kilometer semuanya dilaporkan tercemar dengan kepekatan air berwarna hitam datang dari hulu sungai.

Ketika tinjauan di buat di sungai terbabit, dapat dilihat ikan tidak dapat bertahan dalam pencemaran itu sehinggakan bangkainya tersadai di tebing sungai.

Malah, penduduk tempatan turut mempercayai bau busuk yang kuat itu dipercayai akibat bangkai ikan terutamanya selepas kira-kira 50,000 benih pelbagai jenis ikan di masukkan ke sungai terbabit, tahun lalu.

Tinjauan di Sungai Simpang Bekoh, di sini, iaitu dari hulu mendapati, air mengalir di situ tidak tercemar, namun difahamkan pencemaran bermula dari Sungai Bekoh yang berada dalam daerah Tangkak, Johor.

Terdahulu, seorang penduduk Ali Meon, 48, membuat laporan polis pagi tadi berkaitan pencemaran bau dan warna air di Sungai Chohong itu, yang dipercayainya akibat aktiviti penternakan mahupun perkilangan sehingga air sungai terbabit tidak dapat digunakan untuk aktiviti pertanian.

Sementara itu, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew, berkata pihaknya mengenal pasti punca pencemaran air sungai itu tidak berlaku di negeri ini sebaliknya dari Tangkak, Johor.

“Setakat ini, kita sudah kenal pasti aktiviti penternakan ayam dan pembuangan sampah dari hulu sungai iaitu di negeri Johor, sebagai punca pencemaran Sungai Chohong.

“Malah kita juga sudah meminta pihak terbabit mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini kerana jika sungai tercemar, kita sebagai pengguna berkemungkinan mendapat bekalan air tercemar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menggesa pihak industri mahupun masyarakat supaya tidak membuang sisa ternakan dan pertanian ke dalam sungai, selain mahu pihak berkuasa memantau lokasi yang disyaki menjadi tempat sisa pembuangan sisa berkenaan.

Sementara itu, menurut sumber, pihak Jabatan Veterinar Tangkak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah membuat serbuan ke sebuah premis penetasan ayam di Bekoh, Tangkak dan mendapati kolam takungan itu tidak dijaga serta disalurkan terus ke sungai.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Muhammad Asyraf Mislan, 22, menunjukkan sampel air Sungai Chohong yang bertukar menjadi hitam dan berbau busuk. - NSTP/Khairunisah Lokman
Berita Harian X