Khamis, 7 March 2019 | 12:10pm

Pencemaran gas metana, 1,400 pelajar diarah kosongkan sekolah

JOHOR BAHRU: Seramai 1,400 pelajar di dua sekolah di Taman Pasir Putih diarah mengosongkan bangunan sekolah berikutan pencemaran gas metana di sungai berhampiran.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Lokman Hakim Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.15 pagi tadi.

Katanya, dua sekolah yang terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, di sini.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba Pasir Gudang dengan kekuatan lima anggota dibantu lapan anggota Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dikerah ke lokasi kejadian.


PASUKAN perubatan mengusung pelajar yang terhidu bahan kimia untuk ddihantar ke hospital berikutan limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

“Maklumat diterima terdapat bau yang disyaki gas kimia di kawasan sungai, hasil pemeriksaan terdapat kesan bahan kimia dan gas yang dikesan adalah jenis metana (UN 1971).

“Pengosongan kawasan sudah dilakukan dalam jarak 500 meter membabitkan 1,400 pelajar dan guru dari SMK Taman Pasir Putih dan SK Taman Pasir Putih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lokman Hakim berkata seorang kanak-kanak lelaki pengsan dan lima lagi muntah termasuk seorang kanak-kanak perempuan, ekoran kejadian itu.

“Operasi masih dijalankan dan turut dibantu Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG),” tambahnya.

Difahamkan, satu sidang media lanjut akan diadakan di lokasi kejadian bagi memaklumkan perkembangan terkini operasi pada jam 12 tengah hari nanti.

2682 dibaca
PASUKAN perubatan memberi bantuan kecemasan kepada pelajar yang terhidu bahan kimia berikutan limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
PASUKAN perubatan mengusung pelajar yang terhidu bahan kimia untuk ddihantar ke hospital berikutan limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
PASUKAN perubatan mengusung pelajar yang terhidu bahan kimia untuk ddihantar ke hospital berikutan limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X