Rabu, 6 March 2019 | 10:22pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/Danial Saad

Penyewa PPR Taman Manggis langgar syarat penyewaan

GEORGETOWN: Lebih 20 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini yang diarahkan mengosongkan unit masing-masing kerana mereka melanggar beberapa syarat mendiami kawasan berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata arahan itu juga dibuat berdasarkan konsep PPR yang membenarkan penyewa mendiami perumahan berkenaan dalam tempoh ditetapkan, iaitu selama lima tahun sahaja.

“Tempoh penyewaan bantuan PPR hanya diberikan selama lima tahun kepada penyewa namun majoriti penduduk yang diusir telah menetap di situ selama 10 hingga 11 tahun.

“PPR adalah bantuan sewa rumah untuk tempoh lima tahun sahaja dan dalam lima tahun ini penyewa diharap dapat menaik taraf diri dari segi pendapatan dan pekerjaan supaya mereka mampu untuk menyewa rumah yang lain atau membeli rumah sendiri, ” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, pihaknya turut mendapati ada penduduk melanggar syarat yang lain seperti tunggakan bayaran sewa, jumlah pendapatan melebihi kelayakan, status kewarganegaraan dan syarat-syarat lain yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, tindakan terpaksa diambil kerana ingin memberi peluang kepada pihak yang lebih layak mendapatkan kemudahan tersebut.

Katanya, senarai menunggu kini mempunyai lebih 400 pemohon yang sudah menunggu sejak 11 tahun lalu.

“Pihak kerajaan negeri akan meneliti rayuan untuk kes yang sahih tetapi perlu diingatkan, penguatkuasaan tidak akan terjejas biarpun penduduk berdemonstrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan lebih 20 penyewa yang berhimpun bagi membantah arahan pengosongan unit masing-masing di PPR Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin, dekat sini.

Terdahulu, perhimpunan membabitkan penyewa yang diarah mengosongkan unit mereka itu bertukar kecoh apabila pegawai Bahagian Perumahan kerajaan negeri bertindak mengunci rumah berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X