Selasa, 5 March 2019 | 11:22pm
KETUA Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Mesej gangguan bekalan air tidak benar

SHAH ALAM: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengesahkan mesej yang tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp berhubung gangguan bekalan air di beberapa lokasi adalah tidak benar.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, mesej yang tersebar itu membabitkan kawasan di Wilayah Petaling, Klang serta Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor bermula pada 6 Mac 2019 (esok).

“Mesej itu tidak benar dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pihak Air Selangor tidak mengeluarkan sebarang notis berhubung gangguan terbabit dan maklumat yang disebarkan adalah merujuk kepada gangguan bekalan air berjadual pada tahun 2018.

“Kami meminta agar pelanggan mengabaikan mesej terbabit dan pelanggan dinasihatkan untuk merujuk aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ di Google Play/ Appstore atau layari laman sesawang www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info gangguan bekalan air, ” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Raof juga meminta kerjasama pelanggan untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih itu bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam.

526 dibaca
Berita Harian X