Selasa, 5 March 2019 | 12:33pm
DR Nik Mohd Azlan (tiga kanan) menerima cek zakat perniagaan bernilai RM35,000 daripada Agrobank yang disampaikan oleh Suhaili (dua kiri) di di Lundang, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

MAIK sasar kutipan zakat RM195 juta tahun ini

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM195 juta, tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata RM182 juta berjaya dikutip, tahun lalu, sekali gus melebihi sasaran RM180 juta yang ditetapkan.

Tahun ini, beliau berkata, kutipan zakat diperoleh hingga semalam adalah lebih RM13 juta berbanding lebih RM23 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ia menunjukkan penurunan lebih RM10 juta atau 44.46 peratus. Justeru, pihak kami akan terus mempromosikan supaya masyarakat di Kelantan berzakat.

“Bagaimanapun, kutipan zakat sentiasa meningkat antara tiga hingga lima peratus setiap tahun. Saya berterima kasih kepada pembayar zakat yang menunaikan kewajipan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan oleh Agrobank di pejabat MAIK, di sini, hari ini.

Nik Mohd Azlan berkata, setakat ini, ada 52,000 penerima zakat di seluruh negeri ini dengan 40 hingga 50 peratus kutipan disalurkan kepada asnaf yang memerlukan.

“Kami turut memperuntukkan kutipan zakat yang diperoleh ini bagi membina 150 rumah zakat, setiap tahun.

“Tanggungjawab MAIK agak besar kerana kami adalah pemegang amanah, dan keutamaan sentiasa diterapkan ialah ketelusan aktiviti yang dilaksanakan supaya mendapat keyakinan daripada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Nik Mohd Azlan menerima cek zakat perniagaan berjumlah RM35,000 disampaikan Ketua Unit Perkhidmatan dan Jualan Agrobank Wilayah Kelantan Terengganu, Suhaili Mohd Razali.

Sementara itu, Suhaili berkata, sumbangan zakat berkenaan adalah untuk membantu meringankan beban golongan asnaf dan secara tidak langsung mengurangkan kekangan kewangan mereka.

“Sebagai sebuah syarikat korporat bertanggungjawab dan menyedari peningkatan kos sara hidup, pihak kami berharap usaha murni ini dapat membantu golongan asnaf menjalankan aktiviti harian mereka dengan lebih baik.

“Zakat mempunyai nilai kemanusiaan yang mendalam. Zakat dapat mewujudkan perpaduan, selain mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat dengan mengagihkan kekayaan kepada golongan miskin yang memerlukan,” katanya.

Berita Harian X