Isnin, 4 March 2019 | 10:37pm
KEBAKARAN hutan gelam di Kampung Alur Jambu, Kuala Nerus dipercayai akibat cuaca panas dan kering. - NSTP/Ihsan Bomba

Kebakaran belukar akibat cuaca panas

KUALA NERUS: Kawasan hutan gelam dan belukar seluas lebih 13 hektar di daerah ini musnah terbakar sejak petang semalam, dipercayai akibat cuaca panas dan kering.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Pegawai Bomba Tinggi Yusmizan Yusof, berkata kebakaran hutan gelam di Kampung Alur Jambu, Kuala Nerus, membabitkan kawasan seluas tujuh hektar, manakala kebakaran belukar di Jalan Gong Badak, Taman Desa Tanjung di sini, membabitkan kawasan seluas enam hektar.


ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus berusaha memadam api di Kampung Alur Jambu, Kuala Nerus. - NSTP/Ihsan Bomba

Beliau berkata, kebakaran hutan di Kampung Alur Jambu dilaporkan berlaku sejak jam 6 petang semalam, sebelum pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 6.25 petang oleh orang awam.

Katanya, kebakaran hutan gelam itu membabitkan kawasan seluas lima hektar sebelum merebak kira-kira dua hektar lagi akibat cuaca panas dan kering, selain faktor angin kuat yang menyukarkan api dikawal dan dipadamkan.

“Sebaik menerima laporan, satu jentera dan tangki air dihantar ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan sehingga kini, api di kawasan seluas lima hektar sudah berjaya dipadamkan dan berbaki dua hektar lagi.

“Usaha memadamkan kebakaran giat dilakukan dan kita turut menggunakan punca air berhampiran lokasi kejadian untuk memadamkan api,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, katanya, kira-kira lima hektar kawasan di Taman Desa Tanjung daripada keseluruhan enam hektar yang terbakar sejak tengah hari tadi sudah dipadamkan.

“Sehingga kini kita masih berusaha memadamkan kira-kira satu hektar kawasan yang masih terbakar selepas menerima laporan kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Sebaik menerima panggilan satu jentera dan tangki air dari BBP Kuala Terengganu dihantar ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Katanya, orang ramai diminta memberi kerjasama dengan tidak membuang punca api seperti puntung rokok ke kawasan belukar atau hutan bagi mengelak kebakaran, terutama ketika negara dilanda cuaca panas dan kering.

“Seperti kita maklum negara, ketika ini dilanda cuaca panas dan kering dan kebakaran mudah berlaku. Justeru, kita mohon kerjasama orang ramai untuk elakkan membuang punca api merata-merata, selain elakkan melakukan pembakaran terbuka yang boleh menjadi punca kebakaran,” katanya.

Berita Harian X