Isnin, 4 March 2019 | 4:52pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merasmikan Demak Fabrication Yard di Kuching, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

Jangan samakan PETROS dengan 1MDB: Abang Johari

KUCHING: Syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) diwujudkan bagi mengawal selia industri minyak dan gas di negeri ini secara telus, bukannya entiti lain yang disamakan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) seperti yang didakwa oleh sebuah portal berita.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan negeri menubuhkan PETROS untuk memastikan rakyat negeri ini boleh mengambil bahagian dalam sektor huluan dan hiliran industri minyak dan gas.

Justeru, beliau berkata dakwaan portal berita berkenaan adalah berniat jahat dan sengaja mencetuskan isu yang boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap PETROS.

“PETROS adalah badan kawal selia yang diuruskan secara telus dan saya tegaskan ia sama sekali bukannya 1MDB Sarawak seperti yang didakwa.

“Portal berita itu jelas mempunyai niat buruk terhadap kerajaan negeri dan PETROS, “katanya berucap merasmikan Demak Fabrication Yard, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Hipni; Pengerusi Brooke Dockyard, Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Mazuin Ismail.

Walaupun beliau tidak menyebut nama portal berkenaan, bagaimanapun ia dipercayai merujuk kepada artikel bertajuk ‘The Sarawak Oil Grab - Is Petros the 1MDB of Sarawak’ yang diterbitkan aogm.net, portal berita yang menyiarkan laporan mengenai industri minyak dan gas.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan berhak untuk mengawal selia industri gas demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

338 dibaca
Berita Harian X