Ahad, 3 March 2019 | 12:29pm

Nazir, Imam, AJK masjid perlu fahami aspirasi MAIS - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan nazir, imam dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di Selangor memahami hasrat serta aspirasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam hal berkaitan pengurusan masjid.

“Ini kerana ia benteng terakhir bagi menangani kemelut perpecahan sesama umat Islam. Pentadbir masjid perlu lebih kreatif dan dinamik dalam menggerakkan kegiatan yang mendorong kepada pembinaan hubungan kemasyarakatan sesama umat Islam secara lebih berkesan.

“Pada masa sekarang ini, Beta amat bimbang dengan pelbagai ancaman yang boleh mencemar kesucian dan kemuliaan Islam serta melemahkan umat Islam di Selangor khususnya dan negara ini amnya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Istiadat Pengurniaan Tauliah Nazir dan Imam-Imam Negeri Selangor, di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Baginda juga menegaskan, semua masjid dan surau yang melakukan solat fardu Jumaat hendaklah membaca teks khutbah yang dikeluarkan MAIS melalui Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan ahli jemaah masjid.

“Beta tidak berkenan sekiranya terdapat kalangan imam masjid atau surau solat Jumaat tidak membaca atau menambah kandungan teks khutbah yang disediakan Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor,” titah baginda.

Baginda juga tidak mengizinkan sebarang bentuk fitnah dan penyebaran berita palsu yang boleh merosakkan maruah serta mengaibkan individu tertentu.

“Jangan menjadi ejen yang merosakkan masyarakat dengan menyebarkan berita palsu dan fitnah kerana Islam jelas melarang umatnya menyebar berita palsu dan memfitnah antara satu sama lain.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah perlantikan iman kepada Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya pada Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid di Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah Klang. Turut berangkat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. - Foto Roslin Mat Tahir

“Jadikanlah masjid tempat yang paling dihormati dan asas membina kerukunan hidup bermasyarakat. Nazir dan imam mestilah ikhlas dalam menguruskan rumah Allah ini semoga perkhidmatan kita menjadi ibadah di sisi Allah swt,” titah baginda.

Dalam titah itu, baginda turut memberi nasihat dan teguran, supaya semua pentadbir masjid berusaha bersungguh-sungguh untuk menggerakkan fungsi masjid sebagai tempat ibadah umat Islam yang selesa dan medan penyatuan ummah.

“Beta amat mengharapkan institusi masjid dapat ditadbir serta diurus dengan profesional serta penuh keikhlasan tanpa mencampur-adukan dengan agenda kepentingan diri sendiri.

“Di dalam melaksanakan tugas dan amanah ini, nazir, imam dan AJK masjid hendaklah sentiasa mematuhi Enakmen, Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017, Garis Panduan serta Pekeliling dan Arahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa oleh MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Peluang berkhidmat di masjid yang dikurniakan oleh Allah perlulah digunakan sebaik mungkin untuk membantu MAIS dan JAIS dalam membimbing ahli-ahli kariah. Nazir dan imam diingatkan sentiasa menjaga imej dan integriti supaya institusi masjid dipandang mulia lagi tinggi oleh masyarakat.

Baginda turut menzahirkan kerisauan dengan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di Selangor disebabkan perbezaan pegangan politik.

“Beta menitahkan institusi masjid mesti dijadikan kawasan bebas daripada sebarang politik kepartian.

“Beta ingin tegaskan semua ahli politik khasnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen, sama ada parti pemerintah atau pembangkang, tidak dibenarkan sama sekali berceramah atau berucap dalam mana-mana bangunan masjid atau surau.

“Beta tidak mahu masjid dan surau yang sepatutnya menjadi medan penyatuan ummah bertukar menjadi medan perpecahan hanya kerana perbezaan ideologi politik masing-masing,” titah baginda.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan pada Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Iman Masjid-Masjid di Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah Klang. Turut berangkat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X