Sabtu, 2 March 2019 | 3:53pm
KOK YEW (dua kanan) bersama Wooi Seong (kiri) ketika melawat pameran pada Majlis Pelancaran Home Ownership Campaign MAPEX 2019 di Pasaraya Aman Jaya Mall. - Foto Sharulhafiz Zam

HOC-MAPEX 2019 Kedah tawar diskaun 10 peratus

SUNGAI PETANI: Lebih 4,000 rumah bernilai RM1.652 bilion ditawarkan pada Kempen Pemilikan Rumah (HOC)-Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019 Peringkat Kedah di Amanjaya Mall di sini, yang bermula semalam hingga Isnin ini.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Kedah/Perlis, Datuk Rick Cheng Wooi Seong, berkata pembeli akan memperoleh diskaun 10 peratus bagi pembelian rumah berharga lebih RM300,000.

“Orang ramai yang belum memiliki rumah wajar mengambil peluang ini dengan membuat pembelian rumah sebelum tamat tempoh tawaran iaitu 30 Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian HOC-MAPEX 2019, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew.

Sebanyak 13 pemaju menyertai ekspo ini, dan 21 pemaju akan menyertai ekspo sama di Alor Setar pada 28 hingga 31 Mac ini.

Rick Cheng berkata, penjimatan yang dapat dinikmati pembeli semasa tempoh kempen ini adalah besar.

“Sebagai contoh bagi rumah berharga RM300,000 dengan pengecualian duti setem perjanjian jual beli dan diskaun 10 peratus harga rumah, pembeli akan dapat menikmati penjimatan hampir RM35,000.

“Ini tidak termasuk penjimatan dari pengecualian duti setem untuk perjanjian pinjaman perumahan dengan pihak bank,” katanya.

Beliau berharap kempen pemilikan rumah seperti ini dapat meningkatkan tahap pemilikan rumah dalam kalangan rakyat terutama golongan B40 dan M40.

116 dibaca
Berita Harian X