Khamis, 28 Februari 2019 | 12:46pm
Anggota Bomba Pahang berusaha memadam kebakaran di hutan tanah gambut seluas 28.32 hektar yang terbakar Taman Perindustrian Gebeng. - NSTP/Zulkepli Osman

Bomba berjaya padam 70 peratus kebakaran hutan di Gebeng

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berjaya memadamkan 70 peratus daripada 60 hektar kawasan kebakaran hutan di kawasan perindustrian Gebeng di sini yang berlaku sejak Isnin lepas.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohamad, berkata strategi membina empangan dan menaikkan paras air di kawasan kejadian, berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan lain sekaligus membantu bomba memadam kebakaran.

“Strategi awal mengepung api di dalam petak utama dan melakukan pembanjiran menyeluruh di kawasan hutan nampaknya berkesan dalam memadam kebakaran yang memasuki hari keempat pada hari ini,

“Kita menggunakan kombinasi taktikal iaitu menaikkan paras air secara menyeluruh dengan membina empangan selain pemadaman secara terus oleh anggota,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, penggunaan dua pam berkapasiti tinggi termasuk satu yang dipinjam daripada JBPM Terengganu sejak semalam, memastikan bekalan air dapat diperoleh daripada dua tasik di hutan tersebut.

“Dua pam ini membantu kita meningkatkan paras air memandangkan ada di antara kawasan terlibat mempunyai bekalan air yang terlalu rendah sehingga menyulitkan kerja memadam api,” katanya.

Nor Hisham menambah operasi hari ini melibatkan 44 pegawai dan anggota bomba termasuk 30 sukarelawan Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) yang terdiri daripada kilang utama di sini iaitu KANEKA Malaysia, Lynas Malaysia Sdn Bhd, dan Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd selain dibantu oleh kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata, antara risiko yang dipertimbangkan pihaknya dalam operasi itu ialah kemungkinan anggota terperangkap dalam kebakaran hutan dan kewujudan tanah jerlus yang boleh menyebabkan anggotanya terjatuh sehingga kedalaman satu meter atau pokok tumbang.

Selain itu, Nor Hisham berkata, pihak bomba juga mengambil langkah sewajarnya supaya semua yang terlibat dalam operasi itu tidak terdedah kepada risiko jangka panjang akibat terhidu asap tebal.

Kebakaran hutan di kawasan perindustrian itu disedari petang Isnin lepas dipercayai bermula di kawasan berhampiran tasik, yang berkemungkinan dilakukan oleh pemancing yang melakukan aktiviti melibatkan api. – BERNAMA

153 dibaca
Berita Harian X