Rabu, 27 Februari 2019 | 8:39pm
GAMBAR fail, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari (dua kanan) meninjau keadaan alor limpah Jabatan Pengairan dan Saliran di Tasik Bukit Merah. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Gelombang haba tak jejaskan paras air di empangan

IPOH: Paras air di beberapa empangan di negeri ini masih menunjukkan bacaan pada paras normal dan maksimum meskipun gelombang haba dilaporkan melanda tiga daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, berkata daripada laporan yang diterima pihaknya, paras empangan Lembaga Air Perak (LAP) iaitu Empangan Air Kuning, Taiping dan Empangan Sultan Azlan Shah, Hulu Kinta, berada paras normal.

“Paras Empangan Air Kuning berada pada tahap maksimum iaitu 42.52 meter dan paras Empangan Sultan Azlan Shah adalah 243.52 meter berbanding paras penuh 245 meter atau 92 peratus daripada simpanan takungan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, bagi mengelak sebarang kemungkinan berdepan cuaca panas dan kemarau, pihaknya menasihatkan pengguna untuk menggunakan air secara berhemah.

Katanya, pengguna juga perlu mengelakkan sebarang pembaziran terutama ketika musim kemarau sekarang.

“Pengguna juga diminta untuk melapor kejadian paip bocor kepada talian bebas tol LAP di talian percuma 1800887788 atau memaklumkannya di laman Facebook Lembaga Air Perak,” katanya.

Sementara itu, katanya, Empangan Bukit Merah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pula, laporan terkini menunjukkan status semasa kolam tadahan air itu adalah di paras 9.02 meter yang berada dalam zon amaran berbanding zon normal pada paras 8.69 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini melaporkan beberapa lokasi dalam negara iaitu Chuping (Perlis), Kubang Pasu, Kota Setar, Sik (Kedah), Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta (Perak) serta Maran (Pahang), Kepong (Kuala Lumpur) dan Muar (Johor) mengalami gelombang haba dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celcius.

Berita Harian X