Ahad, 24 Februari 2019 | 8:09pm
SAHRUDDIN (dua, kanan) bersama Anggota Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Datuk Dr Mohd Khairi Yakub (kanan) dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahudeen Abd Aziz (tiga, kiri) merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Johor di Paradigm Mall. - Foto Bernama

Enakmen saman kilang

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan menguatkuasakan enakmen baharu yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri menyaman kilang didapati menjadi punca pencemaran sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata penguatkuasaan undang-undang baharu itu sebagaimana yang dibentang Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam Belanjawan Johor 2019, November tahun lalu.

Katanya, ia sebagai inisiatif dan menunjukkan kerajaan Johor serius menguatkuasakan undang-undang dan memastikan sungai di negeri ini tidak terdedah kepada pencemaran sehingga menjejaskan bekalan sumber air bersih.

“Saya menyokong kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin (mahu laksana pendekatan tegas menyaman kerajaan negeri). Kerajaan Johor akan berusaha memastikan sungai di negeri ini tidak tercemar.

“Sebagaimana sedia maklum, pada pembentangan belanjawan lalu, kerajaan negeri akan menguatkuasakan piawaian kebocoran sisa buangan dan akan saman kilang yang menyebabkan pencemaran sungai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, pihaknya sememangnya maklum mengenai status beberapa sungai di Johor yang menghadapi masalah pencemaran, namun beliau berharap semua pihak dapat kembali kepada punca asal, iaitu kesedaran umum.

“Kita perlu kembali ke asal, pencemaran ini disebabkan apa? Masyarakat, individu, kilang dan rumah setinggan yang sebilangannya mencemar sungai dan memberi kesan kepada kita,” katanya.

Dalam laporan eksklusif BH hari ini, kerajaan negeri boleh berdepan tindakan saman Kerajaan Persekutuan sekiranya premis atau projek pembangunan di negeri masing-masing didapati menjadi punca pencemaran alam sekitar.

Tindakan itu antara pendekatan tegas Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan menerusi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Berita Harian X