Ahad, 24 Februari 2019 | 2:47pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg (dua dari kanan) merasmikan Jambatan Bako yang bernilai RM41.3 juta. - Foto Mohd Roji Kawi

Jalan Pintas Bako - Buntal dibina

KUCHING: Sejumlah RM85 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membina jalan raya menghubungkan Kampung Bako, di sini dengan Kampung Buntal di Santubong.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata pembinaan jalan pintas sepanjang 8.5 kilometer itu bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, khususnya sektor pelancongan di kawasan pesisir pantai itu.

Katanya, ini kerana jalan berkenaan akan menjadi laluan pintas menghubung kawasan tarikan pelancong iaitu Taman Negara Bako dan Taman Negara Santubong serta Damai.

“Selepas pembinaan jalan raya berkenaan, kita merancang untuk membina laluan seterusnya di kawasan persisiran Bako, Santubong seterusnya menghubung Telok Melano di Sematan.

“Selain itu, kita juga merancang untuk membina laluan pesisir yang akan menghubungkan kawasan Bako dengan Samarahan,” katanya ketika berucap merasmikan Jambatan Bako di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian; Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur (Jalan Pesisir), Datuk Julaihi Narawi dan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jambatan sepanjang 280 meter dengan kos RM41.3 juta itu dibina pada 2016 dan siap sepenuhnya Januari lalu.

“Selepas jambatan ini, yang diilhamkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem siap sepenuhnya, kita akan membina jalan raya untuk menghubungkannya dengan Kampung Bako dan jalan sedia ada di kampung sepanjang dua kilometer akan dilebarkan,” katanya.

Abang Johari berkata, pembinaan jalan raya di kawasan pesisir kini menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memberi kemudahan kepada penduduk yang tinggal di penempatan yang jauh dari laluan Lebuh Raya Pan Borneo.

Berita Harian X