Selasa, 19 Februari 2019 | 2:52pm
Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

'Pinda OSHA 1994, pupuk kesihatan mental'

KUALA LUMPUR: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 wajar dipinda dengan mengambil kira persekitaran kerja yang boleh memupuk kesejahteraan mental.

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pengabaian kesihatan mental dan psikososial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja malah akan mempengaruhi produktiviti, kecekapan dan hasil pengeluaran setiap organisasi.

Pada masa sama, katanya, masalah kesihatan mental turut menyumbang kepada insiden kemalangan di tempat kerja.

“OSHA 1994 lebih fokus kepada keselamatan dan kesihatan fizikal walaupun Seksyen 4 (c) akta itu bertujuan mempromosi persekitaran kerja yang memenuhi keperluan fisiologi dan psikologi pekerja.

“Peruntukan khas mesti dimasukkan ke dalam pindaan OSHA 1994 untuk menangani masalah kesihatan mental, termasuk menyediakan sokongan kepada pekerja yang berhadapan dengan isu kesihatan mental,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye mencadangkan supaya Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di bawah OSHA memainkan peranan secara menyeluruh dengan mengadakan aktiviti berkaitan kesihatan mental.

“Pada masa ini, fungsi dijalankan jawatankuasa itu tiada kaitan dengan kesihatan itu.

“Isu berbangkit di tempat kerja disebabkan oleh gabungan pelbagai faktor seperti tugas yang dilakukan, persekitaran kerja dan faktor yang disebabkan oleh organisasi itu sendiri.

“Saya secara konsisten sudah membangkitkan isu kesihatan mental dan psikososial yang memberi kesan kepada individu di rumah, sekolah dan tempat kerja.

Secara amnya, masalah ini juga menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata laporan gangguan kesihatan mental menunjukkan peningkatan di setiap negara dan ia boleh menyebabkan kerugian ekonomi global sehingga AS$16 trilion (RM66.5 trilion) dari 2010 hingga 2030 jika ia tidak ditangani secara kolektif.

“Laporan Suruhanjaya Lancet oleh 28 pakar psikiatri, kesihatan awam, neurosains serta pihak berkepentingan menunjukkan masalah itu semakin meningkat dan boleh mengakibatkan kemudaratan kekal terhadap orang ramai, masyarakat dan ekonomi di seluruh dunia.

“Tidak ada tempat kerja yang kebal terhadap gangguan mental dan kesannya daripada sudut psikologi, sosial dan ekonomi adalah ketara,” katanya.

Berita Harian X