Selasa, 12 Februari 2019 | 7:10pm
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua dari kiri) melawat ruang pameran ketika hadir pada Program Amanat Pentadbiran Tanah Negeri Kedah dan Pelancaran Kaedah Tanah di Dewan Seri Mentaloon, Anak Bukit. - Foto Amran Hamid

Projek penuhi syarat tidak disekat - Mukhriz

ALOR SETAR: Semua projek termasuk aktiviti perlombongan dan kuari yang dilaksanakan di negeri ini perlu mendapatkan kelulusan pihak berwajib sebelum diluluskan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata secara umumnya mana-mana pihak yang mahu melaksanakan apa juga projek termasuk perlombongan dan kuari perlu melaksanakan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).

Beliau berkata, apabila semua syarat ditepati dan tiada sebarang bantahan daripada pelbagai agensi berkaitan maka ia akan diluluskan dalam mesyuarat EXCO.

“Ini bermakna, sekiranya EIA dan SIA menepati syarat dan semua jabatan yang relevan tidak membantah maka sudah pastinya ia diluluskan di peringkat negeri.

“Bagaimanapun, ada juga projek yang sudahpun diluluskan kerajaan negeri dibantah atau menerima aduan, maka kita akan menelitinya secara serius,” katanya pada sidang media selepas Program Amanat Pentadbiran Tanah Negeri Kedah 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lebih 300 penduduk sekitar Kampung Sungai Limau, Pulai dan Padang Cik Mas, Baling mendesak kerajaan Kedah membatalkan hasrat menjadikan Gunung Pulai sebagai projek kuari batu, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, pihaknya sama sekali tidak memandang ringan sebarang aduan daripada masyarakat membabitkan sesuatu perkara berbangkit.

“Kita sentiasa terbuka menerima aduan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mukhriz menegaskan tumpuan harus diberi kepada agenda mengatasi ketirisan hasil negeri dengan meningkatkan aspek pemantauan berterusan dan tindakan penguatkuasaan lebih tegas.

“Semua itu perlu dilakukan mengikut dasar yang diputuskan kerajaan negeri bagi mengurangkan ketirisan hasil yang sepatutnya diperoleh.

“Pihak Pentadbiran Tanah Negeri dan Daerah perlu merangka strategi yang bersesuaian dalam mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kutipan hasil serta memperkemas setiap tindakan bagi meminimumkan ketirisan hasil negeri,” katanya.

98 dibaca
Berita Harian X