Selasa, 12 Februari 2019 | 5:35pm
TEMENGGONG Bidayuh Bahagian Kuching, Austin Dimin. - Foto Melvin Joni

Harap surat hak milik segera dikeluarkan

KUCHING: Majoriti penempatan masyarakat Bidayuh belum mendapat surat hak milik menerusi inisiatif perimeter survei Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Temenggong Bidayuh Bahagian Kuching, Austin Dimin, berkata sejak tujuh tahun lalu, kawasan kampung Bidayuh sudah melakukan penyukatan perimeter ke atas tanah NCR masing-masing dan menghantar data kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

Bagaimanapun, katanya, harapan mereka untuk mendapat surat hak milik bagi tanah masing-masing tidak kesampaian hingga kini.

“Setakat ini, sangat sedikit kampung Bidayuh yang mendapat surat hak milik menerusi perimeter survei.

“Daripada lebih 400 kampung Bidayuh, tidak sampai 10 kampung yang sudah menerimanya,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Austin berkata, kampung yang sudah menerima surat hak milik kebanyakannya dari kawasan Singai, Bau.

Bagaimanapun, katanya, bagi sebahagian besar kampung Bidayuh yang belum menerima surat hak milik, alasan diterima adalah kekurangan tenaga kerja JTS, termasuk kekangan kewangan.

Justeru, beliau berharap JTS bertindak segera dalam menyelesaikan isu membabitkan kampung Bidayuh itu kerana mereka sudah menunggu terlalu lama.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat beberapa kampung yang tercicir data sukatan perimeter tanah NCR di JTS, termasuk Kampung Jambu di Padawan.

Justeru, beliau mengingatkan ketua-ketua kampung supaya menyemak semula data kampung masing-masing bagi memastikan ia terdapat dalam rekod JTS.

182 dibaca
Berita Harian X