Selasa, 12 Februari 2019 | 5:22pm
AHMAD Samsuri (tengah) beramah mesra bersama pelajar yang menerima Anugerah Sarjana Terengganu 2018 anjuran Yayasan Terengganu (YT) di Duyong Convention Centre, Pulau Duyong. - Foto Ghazali Kori

Segera calonkan ketua pembangkang - Ahmad Samsuri

KUALA NERUS: Badan Perhubungan UMNO negeri bertanggungjawab sepenuhnya mencadangkan calon ketua pembangkang di Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu, selepas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, meletak jawatan berkuat kuasa semalam.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri mengamalkan sikap keterbukaan dan bersedia menerima setiap teguran serta pandangan dikemukakan 10 ADUN daripada Barisan Nasional (BN), walaupun bekas menteri besar itu sudah meletak jawatan sebagai ketua pembangkang.

Beliau berkata, Ahmad Razif yang juga bekas Pengerusi UMNO negeri, mungkin mempunyai sebab dan alasan tersendiri untuk meletak jawatan disandangnya sejak 1 Julai lalu.

“Saya dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Yahaya Ali, mengenai peletakan jawatan Ahmad Razif sebagai ketua pembangkang petang semalam tetapi saya tidak tahu punca sebenarnya, mungkin kerana beliau sudah tidak lagi menjadi pemimpin utama UMNO peringkat negeri atau Bahagian.

“Mungkin juga Ahmad Razif ingin memberi laluan kepada ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, yang baharu dilantik sebagai pengerusi UMNO negeri awal Januari lalu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Sarjana Yayasan Terengganu 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Yahaya Ali; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat serta Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Ishamudin Hashim.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Ahmad Razif sebagai ketua pembangkang di DUN Terengganu.

Ahmad Razif, yang dilantik sebagai ketua pembangkang di DUN Terengganu sejak enam bulan lalu, menghantar surat peletakan jawatannya kepada Yahaya dan salinan kepada pengerusi UMNO negeri Isnin lalu.

Sementara itu, Yahaya berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mencalonkan wakil rakyat BN sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Ahmad Razif.

Katanya, keputusan untuk melantik calon sebagai ketua pembangkang adalah tanggungjawab serta urusan UMNO dan dewan akan menerima sesiapa saja nama dicadangkan parti itu.

“Kita berharap proses pelantikan ketua pembangkang yang baharu dapat diselesaikan UMNO negeri sebelum persidangan DUN selama lima hari mulai 1 April depan,” katanya.

393 dibaca
Berita Harian X